MOHD Izzat mengimamkan solat jenazah Shamjudin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
MOHD Izzat mengimamkan solat jenazah Shamjudin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


“SAYA amat bersyukur kerana mampu menggalas tanggungjawab untuk mengimamkan solat jenazah untuk ayah selain menjadi wali keluarga ini,” kata Mohd Izzat Ibrahim, 28.

Menurut Mohd Izzat, arwah ayahnya, Shamjudin Romani, 59, sering datang ke rumahnya di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu dan setiap kali pertemuan itu diingatkan supaya dirinya mewalikan bagi pihak ahli keluarga.

Katanya, ketika itu dia merasakan ada sesuatu ingin diluahkan ayahnya, namun ia bagaikan tidak kesampaian sehingga berakhir dengan pemergiannya buat selama-lamanya meninggalkan mereka tujuh beradik.

“Perasaan saya hari ini bercampur baur antara sedih dan gembira. Sedih kerana kehilangan seorang ayah yang sangat komited dalam memberikan pendidikan kepada tujuh anaknya.

“Saya gembira kerana arwah ayah pergi menemui penciptanya dalam keadaan baik dan pulang daripada program baik,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian ayahnya di Tanah Perkuburan Taman Purnama, Simpang Renggam, hari ini.

Shamjudin sebelum itu dikebumikan di dalam satu liang lahad bersama Sodiq Abu Bakar, 40, di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama pada 10.30 pagi.

Pengebumian itu selepas solat jenazah disertai 500 jemaah pada 9.30 pagi.

Seorang lagi mangsa, Mohd Khairy Abd Jaafar, 37, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya di Jalan Benut, Simpang Renggam.

Ketiga-tiganya maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di FELDA Nitar, Mersing pada 1.40 tengah hari semalam.

Mohd Izzat turut terharu dengan keprihatinan rakan seperjuangan ayahnya yang membantu semua urusan bermula daripada kemalangan berlaku hinggalah jenazah disemadikan.

“Saya langsung tidak menyangka orang ramai datang memenuhi Masjid Al-Falah semata-mata mahu menunaikan solat jenazah untuk arwah ayah dan rakannya Sodiq Abu Bakar,” katanya.

Berita berkaitan

'Ayah ampunkan kamu nak...'

'Ini panggilan 'last' saya...'

'Ajal pengetua bersama dua kakitangan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 7:33 PM