MUJAHID  melihat akhbar Harian Metro bersama  Husain  (tengah) dan  Ahmad Shahrul  semasa kunjungan hormat di Kompleks Islam Putrajaya.
MUJAHID melihat akhbar Harian Metro bersama Husain (tengah) dan Ahmad Shahrul semasa kunjungan hormat di Kompleks Islam Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor

PUTRAJAYA: Konsep Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan kerajaan tidak akan mengubah wajah Islam, sebaliknya ia hanya polisi untuk diguna pakai dalam membawa dasar pentadbiran kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, konsep ini tidak mengubah prinsip Islam yang sedia ada sebaliknya Rahmatan Lil Alamin digunakan untuk memandu kerajaan, khususnya dalam membentuk dasar kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah pentadbiran kerajaan terdahulu, setiap pemerintah tampil dengan polisi masing-masing sebagai panduan dalam pentadbiran.

“Sebagai contoh, pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ke-4), beliau memperkenalkan polisi Penerapan Nilai-Nilai Islam. Malah, pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pula diperkenalkan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Razak pula menerapkan konsep wasatiyyah.

“Ia jelas menunjukkan polisi atau konsep ini boleh berubah, boleh juga dikritik dan juga diperbaiki,” katanya di pejabatnya, semalam.

Terdahulu, Mujahid ditemui wartawan sempena kunjungan hormat sidang pengarang Harian Metro (HM) di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengarang Eksekutif, Komersial HM, Husain Jahit, Pengarang Berita Kanan HM, Ahmad Shahrul Nizam dan Pengarang Berita, Noor Azam Ab Aziz

Mengulas lanjut mengenai konsep Rahmatan Lil Alamin, Mujahid berkata, konsep itu naratif terbaik selepas mengambil kira senario yang berlaku buat masa ini selain sesuai dengan perkembangan dunia semasa.

“Kita sedar ada kelompok liberal, malah ada juga kelompok yang terdedah dengan islamofobia. Justeru, konsep ini yang saya lihat amat sesuai untuk pendekatan Malaysia Baharu yang dibawa kerajaan,” katanya.

Katanya, sejak konsep ini diumumkan tahun lalu, beliau banyak turun ke agensi yang berada di bawahnya untuk memberi kefahaman mengenai Rahmatan Lil Alamin.

“Malah, program kemuncak iaitu Karnival Rahmah 2019 yang akan berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad ini di Dataran Putrajaya bakal menjadi medan kepada orang ramai untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan Rahmatan Lil Alamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 8:11 AM