PENGARAH Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail (tengah) ketika menunjukkan poster selepas sidang media Sempena " Karnival Rahmah 2019 " dan turut bersama Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Munir Haji Md Salleh (dua dari kiri) dan Ketua Unit Komunikasi Korporat JAWI, Saiful Azhar Saadon (dua dari kanan) di Kompleks Islam Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
PENGARAH Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail (tengah) ketika menunjukkan poster selepas sidang media Sempena " Karnival Rahmah 2019 " dan turut bersama Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Munir Haji Md Salleh (dua dari kiri) dan Ketua Unit Komunikasi Korporat JAWI, Saiful Azhar Saadon (dua dari kanan) di Kompleks Islam Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Rosyahaida Abdullah


KARNIVAL Rahmah 2019 selama empat hari di Dataran Putrajaya, Putrajaya, bermula esok menyasar penerapan nilai kasih sayang dan keharmonian seluruh lapisan masyarakat.

Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai aktiviti dirangka yang menjurus kepada enam nilai utama Rahmah khususnya di gerai pameran iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat.

“Kita menyasar kehadiran pengunjung yang berbilang bangsa. Semestinya program yang dirangka untuk karnival ini sarat dengan mesej kasih sayang, persaudaraan, keharmonian hidup bermasyarakat dan sebagainya.

“Dengan pelbagai isu perkauman kebelakangan ini yang menjurus ke arah kebencian dan sebagainya, kita harap ia mampu membawa mesej kedamaian, keamanan dan keharmonian yang amat diperlukan pada hari ini,” katanya.

Karnival itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mengetengahkan konsep “edutainment.”

Antara program menarik yang menanti pengunjung termasuklah Karnival Kanak-Kanak yang bermula pada hari Jumaat.

Selain itu, program pencarian bilal dan Maidatul Quran iaitu acara yang menyajikan bacaan pelbagai ayat suci al-Quran turut tersedia buat pengunjung.

Pada hari Sabtu, antara program yang sudah dirangka termasuklah Halal Fun Run pada jam 6.30 pagi diikuti pesta buah dan Jamuan Rahmah yang menyajikan makanan percuma kepada pengunjung bermula sekitar jam 5 petang.

Konsert Rahmah akan menghiburkan pengunjung pada sebelah malam.

Acara pada hari Ahad pula dimulakan dengan Eco Alami Ride pada jam 7 pagi dan bagi mereka yang gemarkan aktiviti mencabar, pertunjukan paragliding akan berlangsung sepanjang Sabtu dan Ahad mulai jam 4.30 petang.

Sempena karnival ini, orang ramai juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya pakej umrah dan motosikal Yamaha 15ZR dengan hanya mengumpulkan cop di gerai terpilih.

Agensi berkaitan hal ehwal Islam juga mengambil bahagian menerusi gerai yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Karnival Rahmah 2019 atau Instagram KarnivalRahmah2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 2:00 PM