Mohamad Hussin dan Siraj Mohd Zaini


PENCEMARAN bau yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup semalam, dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa tidak dibenarkan ke dalam sistem pembentungan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian berkata, ia susulan siasatan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas sistem manhole jaringan pembentung awam di Bandar Bukit Mahkota, Bangi.

“Hasil siasatan mendapati satu manhole berbau pelarut yang berkemungkinan menjadi lokasi utama kemasukan bahan itu sebelum ke loji kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Sisa pembuangan ini tidak dapat dirawat oleh loji kumbahan dan menyebabkan bau pelarut yang kuat dari pelepasan eflien loji IWK mengalir ke Sungai Beranang dan seterusnya ke Sungai Semenyih,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat loji kumbahan IWK yang terjejas di Bangi, hari ini.

Hee berkata, bagi mengatasi masalah pencemaran bau itu, pihaknya membuat pendosan activated carbon sebanyak 575 kilogram (kg) pada 3.00 pagi hari ini di loji berkenaan dan berjaya menurunkan kadar bau kepada satu ton di pelepasan efluen loji.

“Hujan lebat pada malam semalam dan awal pagi tadi turut meningkatkan kadar pencairan sungai dan menyebabkan penurunan bau di Sungai Semenyih.

“Berikutan itu LRA Sungai Semenyih mula beroperasi sepenuhnya pada 4.30 pagi,” katanya.

Hee berkata, LUAS bersama pihak terbabit sedang berusaha mengenal pasti pihak yang melakukan pencemaran berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani isu itu.

Pihak disabit bersalah boleh dihukum mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS atau Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 tertakluk kepada hasil analisa pensampelan daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyatakan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya akibat pencemaran bau dengan bacaan lima ton, di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Gangguan tidak berjadual itu menyebabkan sebanyak 204 kawasan membabitkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terjejas.

Berita berkaitan

Loji Sungai Semenyih kembali beroperasi

204 kawasan bakal terjejas gangguan bekalan air

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 1:28 PM
HEE (empat dari kiri) ketika melawat loji kumbahan IWK, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
HEE (empat dari kiri) ketika melawat loji kumbahan IWK, hari ini. FOTO Azhar Ramli.