KAKITANGAN IWK, Mahdihi Sharaie, 38, memproses penyedutan bahan kimia yang menyebabkan pencemaran bau di Bandar Bukit Mahkota, Bangi. FOTO Azhar Ramli
KAKITANGAN IWK, Mahdihi Sharaie, 38, memproses penyedutan bahan kimia yang menyebabkan pencemaran bau di Bandar Bukit Mahkota, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LEBIH 1.5 juta penduduk terjejas ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran bau sejak pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian berkata, pihaknya menjangkakan masalah air akan pulih dalam dua hingga tiga hari sekiranya indikator baru berada pada paras sifar hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati bahan yang dibuang adalah sisa kimia berjadual seperti minyak berwarna hitam dan bahan industri berbau di Bandar Bukit Mahkota.

“Operasi pembersihan sisa kimia sehingga paras bau mencapai bacaan sifar ton sedang giat dijalankan sejak semalam sebelum air dapat dilepaskan semula ke Sungai Semenyih untuk diproses di LRA.

“Pemantauan dan persampelan yang dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Sungai Beranang dan sehingga 9.30 pagi tadi paras bau sudah mencapai sifar ton dan diharap berterusan bagi membolehkan air disalurkan semula ke sungai untuk diproses,” katanya dalam sidang media di Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Bandar Bukit Mahkota, di Bangi, hari ini.

Katanya, IWK dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memantau paras bau agar air yang disalurkan kepada pengguna mengikut piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata, insiden pencemaran air yang adalah kali ketiga dan berharap ia tidak berulang sehingga menjejaskan banyak pihak.

“Kerajaan negeri sudah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) agar memasukkan bau sebagai piawaian baru dalam penentuan bacaan kualiti air yang disalurkan kepada pengguna.

“Setakat ini, sebanyak 366 kawasan membabitkan 336,930 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas akibat masalah ini,” katanya.

Pencemaran bau seakan pelarut dikesan pada jam 7.50 pagi semalam sebelum pelepasan air dihentikan bagi membolehkan rawatan menggunakan Catalyst Hydrogen Peroxide (CHP) dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 3:34 PM