NOOR Azam Jamaludin
NOOR Azam Jamaludin
Ruwaida Md Zain


SHAH ALAM: “Belum ada pihak dipanggil (untuk membantu siasatan) berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, Sabtu lalu,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Beliau berkata, ia berikutan tidak wujud unsur sabotaj dalam laporan polis yang diterima pihaknya berhubung kejadian itu.

“Pihak kami menerima beberapa laporan dan laporan itu tidak menyatakan unsur sabotaj, tetapi menyatakan pencemaran sungai disebabkan ‘solvent’ (pelarut) dari Indah Water Konsortium (IWK),” katanya.

“Siasatan polis juga dijalankan berdasarkan laporan dibuat tetapi laporan itu tiada nyatakan elemen sabotaj, cuma pencemaran dari IWK,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sabtu lalu, lebih 1.5 juta penduduk terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian berkata, siasatan mendapati bahan dibuang adalah sisa kimia berjadual seperti minyak berwarna hitam dan bahan industri yang berbau di Bandar Bukit Mahkota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 6:00 AM