Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PUNCA pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya semalam adalah disebabkan pembuangan bahan berasaskan minyak.

Hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati sisa itu ditemui di kebuk masuk loji rawatan kumbahan serantau Indah Water Konsortium (IWK) di Batang Kali.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor Hee Loy Sian berkata, ia dipercayai dibuang dari kawasan perindustrian di sekitar loji terbabit dan perkara itu disedari 7 pagi, hari ini.

Katanya, susulan itu, pihak IWK terpaksa menutup kebuk masuk berkenaan sekitar 9 pagi bagi kerja-kerja pembersihan yang dijangka selesai pada 5 petang.

“Lapisan minyak yang ditemui itu menyebabkan proses penapisan air di loji berkenaan terjejas sekali gus mengeluarkan bau ketika air dirawat dilepaskan ke Sungai Liam.

“Kita percaya bahan berasaskan minyak itu dibuang dari kawasan perindustrian berhampiran hasil daripada pembuangan sisa terbabit dari bengkel kereta,” katanya ketika ditemui melawat loji rawatan kumbahan serantau IWK, hari ini.

Hee berkata, sebanyak enam tan karbon aktif (AC) digunakan Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di sekitar kawasan terbabit untuk mengurangkan pencemaran yang dilepaskan.

“Pihak IWK kini dalam proses menyedut keluar lapisan minyak terbabit di kebuk masuk mereka,” katanya.

Beliau percaya tindakan pembuangan minyak ini dilakukan sekali dan menyukarkan untuk mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Pencemaran bau yang mengakibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya menyebabkan hampir 1.2 pengguna di sekitar Lembah Klang terjejas.

Berita berkaitan

1.1 juta pengguna putus bekalan air

Sungai Liam yang jadi punca

Tak pasti bila gangguan air pulih

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 3:05 PM
HEE Loy Sian (kanan) meninjau Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali susulan pencemaran bau yang menjejaskan pengguna Kuala Lumpur dan Selangor. FOTO Zunnur Al Shafiq.
HEE Loy Sian (kanan) meninjau Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali susulan pencemaran bau yang menjejaskan pengguna Kuala Lumpur dan Selangor. FOTO Zunnur Al Shafiq.