GAMBAR fail menunjukkan penduduk Puchong Perdana membawa tong dan bekas plastik untuk mengisi air bersih berikutan gangguan bekalan air. FOTO Zulfadhli Zulkifli
GAMBAR fail menunjukkan penduduk Puchong Perdana membawa tong dan bekas plastik untuk mengisi air bersih berikutan gangguan bekalan air. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah membuat laporan polis berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih sehingga menyebabkan empat wilayah di Selangor terjejas, sejak Sabtu lalu.

Jurucakap SPAN berkata, laporan polis dibuat pengurusan SPAN, Ahad lalu di Balai Polis Bangi untuk memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Pihaknya mahu siasatan lanjut dijalankan polis bagi mengesan pelaku yang membuang sisa kimia di lurang kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Bandar Bukit Mahkota, Bangi.

“Laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung insiden berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sejak Sabtu lalu, lebih 1.5 juta di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling terjejas selepas Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau dari sumber air mentah Sungai Semenyih.

Susulan itu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas serta-merta bagi mengelak air berbau disalurkan kepada pengguna.

Siasatan lanjut mendapati sisa kimia berjadual seperti minyak hitam, bahan lemak makanan dan sisa industri dibuang pihak tertentu di lurang kumbahan di Bandar Bukit Mahkota menyebabkan sumber air mentah Sungai Semenyih berbau.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago dalam sidang media memaklumkan pengguna akan mendapat bekalan air secara berperingkat selepas LRA Sungai Semenyih mula beroperasi jam 1 tengah hari semalam.

Kerajaan Persekutuan juga diminta mengkaji semula keputusan membekukan penggunaan kolam takungan air hiliran atau Off River Storage untuk mengatasi masalah bekalan air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 2:41 PM