Siraj Mohd Zaini

POLIS sedang mengesan sembilan saksi bagi membantu kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, individu berkenaan diminta tampil bagi membantu pihak polis menyiasat kes berkenaan.

“Mereka bukan suspek tetapi dipercayai berada di sekitar kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, pihaknya juga akan meminta pandangan daripada Malaysian Medical Council (MMC) berhubung kematian Muhammad Adib.

“Polis akan meminta pandangan mereka juga berhubung proses bedah siasat terhadap arwah Muhammad Adib.

“Selain itu, siasatan polis juga merangkumi pelbagai aspek termasuk pasukan forensik polis di lokasi kejadian,” katanya.

Huzir (tengah) menunjukkan gambar sembilan individu yang diminta tampil membantu pihak polis menyiasat kes kematian Muhammad Adib di IPK Selangor, Shah Alam hari ini. Foto Faiz Anuar
Huzir (tengah) menunjukkan gambar sembilan individu yang diminta tampil membantu pihak polis menyiasat kes kematian Muhammad Adib di IPK Selangor, Shah Alam hari ini. Foto Faiz Anuar

Huzir berkata, sehingga kini polis sudah merakam 31 keterangan bagi kes terbabit termasuklah saksi polis, pakar kimia dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhammad Adib, 24, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) BBP Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 November tahun lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember selepas 21 hari menerima rawatan.

Susulan itu, Peguam Negara mengarahkan majistret membuat inkues bagi menentukan sebab kematian mangsa pada 27 Disember tahun lalu.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 7:59 PM