Kerja mengalihkan lori tangki yang terbalik dijangka berlarutan sehingga malam ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Kerja mengalihkan lori tangki yang terbalik dijangka berlarutan sehingga malam ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


KERJA menaikkan dan mengalihkan lori tangki muatan cecair kimia jenis Acetone Thinner yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai semalam dijangka berlarutan sehingga malam ini berikutan hujan lebat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihaknya menjangka operasi mengalihkan kenderaan itu tamat 10 malam ini bergantung cuaca.

Menurutnya, operasi kini masih lagi dijalankan dan terpaksa dihentikan sementara kerana faktor cuaca yang boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan petugas.

“Kerja menaikkan lori yang terbalik masih lagi dijalankan syarikat dengan menggunakan dua kren.

“Bomba akan memantau dan memastikan bahan kimia itu terlarut sebelum dipindahkan ke tangki lain dan operasi ini dijangka tamat 10 malam ini,” katanya ditemui di lokasi hari ini.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkenaan memaklumkan kualiti air di parit yang berlaku tumpahan bahan kimia itu selamat berdasarkan ujian bacaan pH air yang dibuat JAS.

“Penduduk tidak perlu bimbang berikutan bahan ini bukanlah seperti yang berlaku di Pasir Gudang, namun ia mudah terbakar.

“Namun tindakan bomba meneutralkannya dengan air yang banyak dan sehingga kini bacaan pH air di kawasan itu adalah selamat,” katanya.

Mohd Yunus berkata, sehingga 5 petang tadi, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih lagi dibuka di Surau Ar Rahman dengan jumlah mangsa masih sama iaitu tiga orang.

Berita berkaitan

Lori kimia terbalik, penduduk muntah-muntah [METROTV]

Lori bawa bahan kimia terbalik belum dialihkan

Lori bawa bahan kimia terbalik

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:56 PM