Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEORANG penduduk Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai mengalami muntah dipercayai selepas terhidu bahan kimia susulan lori tangki terbalik dan berlaku tumpahan muatan bahan kimia jenis Acetone Thinner di kampung itu semalam.

Susulan kejadian itu juga, tiga penduduk kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Ar-Rahman yang dibuka 9.30 pagi tadi.

Seorang daripada mangsa yang dipindahkan, Masrah Masran, 76, berkata, anaknya berusia 30-an, dimasukkan ke Hospital Parit Buntar petang semalam selepas mengalami muntah, loya, pening kepala dan sakit mata dipercayai akibat terhidu bahan kimia itu.

Menurutnya, anak lelakinya sebelum itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai sebelum dirujuk ke Hospital Parit Buntar dan kini masih mendapatkan rawatan.

“Semalam anak menjemput saya di rumah pada 11 pagi untuk memindahkan saya ke rumah adik berhampiran pusat pemindahan ini dan dia kemudian mengadu loya serta muntah.

“Kemudian pada 6 petang saya dapat tahu anak dimasukkan ke Hospital Parit Buntar dan saya harap tiada perkara buruk berlaku,” katanya.

Masrah berkata, dia bersama seorang anak dan empat cucu akur dengan arahan pihak berkuasa agar mengosongkan kediaman yang terletak berhampiran dengan lokasi tumpahan bahan kimia terbabit dan segera berpindah ke rumah adiknya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mentara 3, Halmi Omar berkata, tiada arahan baru untuk mengosongkan rumah setakat ini menjadikan mereka yang berpindah sementara waktu kekal tiga keluarga membabitkan 10 penduduk termasuk tiga yang ditempatkan di PPS manakala selebihnya di rumah saudara berhampiran.

Katanya, semua penduduk memberikan kerjasama baik dengan mematuhi arahan diberikan pihak berkuasa.

“Kita harap perkara ini dapat diselesaikan segera memandangkan laluan tempat lori terbalik adalah jalan utama penduduk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Sehingga kini pihak berkuasa masih mengawal keadaan di lokasi tumpahan bahan kimia terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, setakat ini Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) sudah menggunakan tiga jenis alat pengesan bahan kimia iaitu kertas pH, GFG 450 dan pengesan gas (Gasmed).

“Tiga kali ujian menggunakan kertas pH, yang jelas tidak memberikan sebarang bacaan membimbangkan dengan pH dicatatkan adalah 6.

“GFG 450 yang boleh mengesan empat bahan utama iaitu oksigen (O2), karbon dioksida (CO2), metana dan hidrogen sulfida digunakan empat kali dan tiada bacaan direkodkan.

“Gasmed pula adalah pengesan gas yang digunakan ketika Ops Kim Kim di Johor sebelum ini yang mampu mengesan sehingga 2,500 bacaan bahan kimia dan setakat ini ia juga menunjukkan tiada bahan merbahaya di udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan lori tangki berkenaan akan ditarik keluar 4 petang ini.

Berita berkaitan

Lori bawa bahan kimia terbalik belum dialihkan

Lori bawa bahan kimia terbalik

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 12:27 PM