MUJAHID (tengah) bergambar bersama peserta. FOTO Faiz Anuar
MUJAHID (tengah) bergambar bersama peserta. FOTO Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed


AGIHAN hibah kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka lebih baik pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelan pemulihan secara berterusan dan meminta rakyat supaya terus yakin dengan institusi kewangan Islam itu.

“Kita sememangnya mempunyai pelan besar untuk TH dan kerajaan komited membantu menerusi suntikan dana berjumlah RM17.8 bilion.

“Ketika ini baru fasa pertama pemulihan dan kita sudah menyusun perjalanan pengurusan yang lebih baik.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan terus kekal percaya dengan TH kerana kita sentiasa amat mengutamakan kebajikan jemaah haji dan pengurusan haji yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim.

Mujahid berkata, beliau dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kedudukan terkini TH pada sidang Parlimen esok.

“Saya sudah menghubungi Speaker (Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof) dan memasukkan permintaan (membuat kenyataan rasmi).

“Insya Allah saya harap dapat memberi kenyataan rasmi di Parlimen esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemerhatian pihaknya mendapati masih tiada pengeluaran panik luar biasa oleh pendeposit TH setakat ini.

“Ia hanya membabitkan pengeluaran biasa malah kita dapati ada tambahan oleh pendeposit baharu. Ia satu petanda baik oleh pendeposit dan diharap berterusan,” katanya.

Minggu lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Mujahid berkata, dasar ‘Rahmatan Lil Alamin’ bukan sekadar ungkapan retorik namun pendekatan besar pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mewujudkan model Malaysia yang lebih baik.

“Rahmatan Lil Alamin akan bergerak seiring nilai dan matlamat sejagat maqasid syariah untuk mewujudkan model negara Islam acuan Malaysia baharu.

“Kita mewujudkan pelan strategik yang menggariskan tujuh kluster antaranya perundangan dan kehakiman, pendidikan dan pembangunan insan, pengurusan haji dan pensijilan halal serta budaya maqasid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:31 PM