Patricia (tengah) menerima cenderahati daripada Fuziah majlis Makan Malam Pertemuan bersama Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland, pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Bernama
Patricia (tengah) menerima cenderahati daripada Fuziah majlis Makan Malam Pertemuan bersama Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland, pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin

MALAYSIA bakal menjadi negara pertama memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin yang menekankan Islam sebagai agama rahmah dan memberikan kebaikan kepada semua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, dasar itu perlu difahami dengan betul dan mendalam bagi mengelakkan pihak tertentu menyalah tafsir mengenai objektif konsep berkenaan.

“Cabaran terbesar berkaitan pelaksanaan Rahmatan Lil Alamin membabitkan dua kumpulan berbeza.

“Kumpulan pertama yang ‘bersorak’ mengenai dasar Islam tanpa pemahaman mendalam boleh mendorong kepada perbuatan diskriminasi terhadap golongan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Fuziah Salleh pada majlis Makan Malam Pertemuan bersama Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland, pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur malam ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Menurut Fuziah, pihaknya berdepan dengan kumpulan yang takut dengan usaha memperkasakan Islam.

“Mereka yang digelar sebagai kumpulan Islamophobia sentiasa melihat sebarang agenda membabitkan Islam sebagai ‘ugutan’ kepada hak asasi dan kebebasan manusia,” katanya.

Setiausaha Agung Komanwel itu melakukan lawatan kerja ke Malaysia selama tujuh hari bermula Ahad lalu hingga Sabtu ini.

Scotland adalah wanita pertama memegang jawatan itu sejak penubuhannya pada 1949 menggantikan Kamalesh Sharma dari India yang tamat tempoh dua penggalnya.

Beliau dipilih sebagai Setiausaha Agung Komanwel pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 11:19 PM