Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


“KETIKA kejadian saya bersiap ke tempat kerja dan menunggu van sekolah anak lelaki sebelum tiba-tiba terlihat bayang orang di hadapan sliding door (pintu gelongsor),” kata mangsa samun yang mahu dikenali Ling Ling, 40-an.

Dalam kejadian 7.15 pagi semalam, mangsa bersama suami 40-an, ibu, 71, dan anaknya, 16, berada di ruang tamu rumah mereka di Taman Segar Perdana, Cheras sebelum kediamannya diceroboh empat lelaki bersenjatakan parang dan batang besi sebelum menyamun mereka.

Bagaimanapun tindakan empat ahli kumpulan samun bersenjata, Geng Sree itu mengundang padah apabila mereka ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak di tempat letak kereta Kondominium Residen Skypark, Cyberjaya selepas polis mengesan mereka beberapa jam kemudian.

Menceritakan semula kejadian samun itu, Ling Ling berkata, pada mulanya tiga lelaki bertopeng masuk dengan dua parang dan sebatang besi sebelum seorang lagi datang tanpa memakai topeng.

Menurutnya, mereka kemudian mengarahkannya sekeluarga berkumpul di ruang tamu dengan menundukkan kepala dan tidak dibenarkan melihat wajah penyamun itu.

“Selepas itu tiga lelaki naik ke atas dan mengambil barangan milik kami dan turut membawa lari kereta Mercedes suami dengan melanggar pintu pagar.

“Mereka datang menaiki Volkswagen Passat dan dipercayai lelaki yang tidak memakai topeng muka itu adalah pemandu kereta itu,” katanya.

Katanya, mereka sangat takut ketika itu dan sebaik lelaki terbabit melarikan diri dia terus memaklumkan kejadian kepada polis.

“Terima kasih kepada polis kerana datang segera ke rumah sebaik diberitahu kami disamun.

“Malah dua jam selepas kejadian saya dimaklumkan polis berjaya menewaskan empat lelaki itu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan beberapa jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Segar Perdana, empat ahli kumpulan samun bersenjata, Geng Sree ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak di sebuah kondominium.

Kumpulan berkenaan adalah antara kumpulan paling dikehendaki kerana terbabit dalam 21 kes jenayah di Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam kejadian 9.30 pagi di tempat letak kereta Kondominium Residen Skypark empat suspek berusia antara 29 dan 45 tahun maut di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

[UPDATE] Ditembak selepas baru samun rumah

Tembak polis dulu tiga das [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 1:07 PM