GAMBAR pada 13 September menunjukkan keadaan landasan di LTSAS yang diselebungi jerebu. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR pada 13 September menunjukkan keadaan landasan di LTSAS yang diselebungi jerebu. FOTO Arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


SEBANYAK empat penerbangan membabitkan 480 penumpang terpaksa dibatalkan berikutan keadaan jerebu masih tidak pulih di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di Ipoh, pagi ini.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, kesemua penerbangan pergi dan balik itu membabitkan pesawat Air Asia.

“Jarak penglihatan di lapangan terbang pagi ini masih mencatat bacaan rendah iaitu 3,000 meter.

“Sebanyak 10 penerbangan hari ini, yang mana empat penerbangan pergi dan balik terpaksa dibatalkan berikutan jerebu masih di tahap tidak baik,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kesemua empat stesen di negeri ini mencatat aliran Indeks Pencemaran Udara (IPU) menaik dan tidak sihat.

IPU di Seri Manjung mencatat bacaan tertinggi iaitu 173, diikuti Tasek 156, Pegoh (133) dan Taiping (111) manakala Tanjung Malim mencatatkan IPU sederhana iaitu 75.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 9:09 AM