DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Najib Razak. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

BEKAS pegawai khas Datuk Seri Najib Razak berulang kali menyatakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau menerima arahan daripada bekas perdana menteri itu dan bukan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, turut menegaskan pendiriannya bahawa Jho Low sering dilihat hampir setiap masa semasa Najib melakukan lawatan rasmi ke New York dan London.

Berikut antara keterangan Amhari Efendi, seorang daripada saksi utama pendakwaan, pada perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib, di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, dari 17 hingga 19 to September.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

HARI 8 (17 September)

Amhari Efendi memberitahu Mahkamah Tinggi, Jho Low menunjukkan minat dalam Terengganu Investment Authority (TIA) sejak cadangan penubuhannya dicetuskan pada 2008.

Beliau berkata, Jho Low turut menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemandu dan penyelarasan TIA pada 5 Mac 2009 atas undangan, untuk membincangkan cara mengumpul bon bagi TIA.

TIA dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September 2009

Amhari Efendi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low mencadangkan beberapa nama besar sebagai anggota lembaga pemegang amanah yayasan yang akan ditubuhkan oleh TIA.

Beliau mengesahkan yayasan itu, yang akan diletakkan di bawah TIA, menyenaraikan beberapa nama anggota lembaga pemegang amanah, antaranya vokalis utama kumpulan rock Ireland, Bono, Ratu Rania dari Jordan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Walt Disney Michael Eisner.

Nama lain yang turut disenaraikan dalam dokumen itu yang dibacakan di dalam mahkamah oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ialah isteri bekas perdana menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said; CEO Mubadala Development Khaldoon Al Mubarak; bekas Pengerusi ExxonMobil Lee Raymond; dan Pengerusi dan CEO LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE Bernard Arnault.

HARI 9 (18 September)

Saksi itu turut menafikan beliau melindungi Jho Low, kerana tidak membangkitkan isu yang ahli perniagaan dalam buruan itu memberi gambaran salah bahawa beliau adalah penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terdahulu, Muhammad Shafee membacakan minit mesyuarat TIA, yang berlangsung di bangunan Parlimen pada 30 Jun 2009.

Dalam minit berkenaan, kata Muhammad Shafee, wakil Sultan Mizan Zainal Abidin menafikan Jho Low adalah penasihat baginda.

Dalam keterangannya juga, Amhari Efendi berkata, Jho Low, sering bersama-sama Najib semasa bekas perdana menteri itu melakukan lawatan rasmi ke New York dan London.

Saksi itu berkata, beliau juga tidak menyediakan laporan lawatannya ke China pada Jun 2016 untuk Najib, sebaliknya, Jho Low, yang melakukannya.

HARI 10 (19 September)

Amhari Efendi, mengulangi di Mahkamah Tinggi bahawa beliau menerima arahan daripada bekas perdana menteri dan bukan daripada Jho Low kerana beliau bekerja untuk Najib.

Beliau juga berkata pertemuan antara Najib dan Jho Low diadakan di luar Pejabat Perdana Menteri dan selepas Jho Low melarikan diri dari negara ini pada 2015, mereka berdua berkomunikasi menerusi medium elektronik.

Semasa lawatan rasmi Najib ke New York dan London, Jho Low akan bertemu bekas perdana menteri itu di bilik hotel, katanya.

Amhari Efendi memberitahu Mahkamah Tinggi, Najib, selaku pemimpin nombor satu negara ketika itu, mempunyai kuasa untuk menjadikan hidupnya tidak stabil.

Beliau berkata, sungguhpun bekas ketuanya itu secara peribadi tidak pernah mengancamnya, namun beliau merasakan seperti ‘tersepit di tengah-tengah’ kerana Najib, sebagai perdana menteri ketika itu, mempunyai pengaruh dan sokongan padu untuk menjadikan hidupnya porak peranda.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim​​​​​​ Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:31 AM