Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sejumlah dadah jenis syabu dan heroin dirampas daripada tahanan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dekat sini, Ahad lalu.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terhadap 129 tahanan reman di lokap terbabit turut mendapati 22 daripadanya adalah positif dadah.

Sumber berkata, empat anggota polis bertugas menjaga lokap itu turut menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati seorang daripadanya positif dadah methamphetamine.

Menurut sumber lagi, dipercayai anggota polis yang positif dadah itu turut membawa masuk bekalan dadah ke dalam lokap IPD Kota Tinggi.

"Malah siasatan yang dilakukan mendedahkan terdapat dua lagi anggota polis terbabit dalam membantu tahanan reman membawa masuk dadah dan tembakau ke dalam lokap polis.

"Usaha sedang dilakukan bagi mengesan dua anggota polis berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, tiada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlepas daripada tindakan jika didapati terbabit dalam penyeludupan dadah di lokap.

Katanya, tindakan tegas akan diambil tanpa pilih kasih kepada anggota dan pegawai terbabit.

Menurutnya, sebelum ini Bukit Aman sudah mengambil tindakan tegas ke atas anggota dan pegawai yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah seperti yang berlaku di Langkawi, Kedah.

"Kita akan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas tahanan lokap melebihi seminggu untuk mengesan jika ada dadah bolos di bawa masuk ke dalam lokap.

"Kita akan cari punca bagaimana dadah boleh masuk dalam lokap. Tidak kira mana-mana balai pun," katanya.

Kamarulzaman ditemui selepas program perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Kamarulzaman berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perkara itu termasuk mengenal pasti dalang utama.

Katanya, beliau percaya berlaku penyeludupan dadah ke dalam lokap membabitkan pihak yang mengambil kesempatan terhadap penagih dadah yang ditahan.

"Mereka menggunakan ruang yang lopong untuk mengambil kesempatan dan keuntungan. Kita akan siasat secara menyeluruh perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:19 PM