A AZIZ A Rahim
A AZIZ A Rahim
HM Digital

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes seorang tahanan yang ditemui mati tergantung dalam lokap di Balai Polis Selama, Perak, 17 Mac lalu.

Kenyataan ini sekali gus menafikan dakwaan Ketua Polis Daerah Selama, pada 25 Mac lalu yang memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan bersama dengan Jaba batan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama EAIC.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk A Aziz A Rahim, berkata pihaknya sentiasa menjaga tahap kebebasan dan ketelusan dalam membuat siasatan khususnya dalam menyiasat sesebuah agensi di bawah pengawasan EAIC.

“Dalam konteks berkenaan, suka dimaklumkan bahawa EAIC adalah sebuah suruhanjaya bebas dan sedang menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes kematian tahanan berkenaan dan bukan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay.

“Pada masa ini EAIC dalam proses melengkapkan siasatan dan mengumpulkan segala maklumat kes termasuk mengambil keterangan sewajarnya sebelum mengumumkannya selepas selesai,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat syor berkaitan akan dipanjangkan kepada JIPS, untuk penambahbaikkan selanjutnya.

“Setiap siasatan EAIC bebas, telus dan profesional berdasarkan kuasa penyiasatan yang diperuntukkan mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, seorang tahanan berusia 39 tahun yang ditahan kerana terbabit dalam kes dadah, ditemui mati dua anggota bertugas dalam keadaan tergantung di dalam lokap.

Siasatan awal mendapati tahanan itu ada meminta kain lebih daripada anggota bertugas pada jam 8.48 pagi namun permintaan itu tidak diendahkan.

Semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati tahanan itu menggantung diri dengan baju lokap serta melilitkannya pada tiang besi lokap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:42 AM