GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ibrahim Isa


POLIS Seri Alam memburu lelaki yang dikatakan merakam wanita ketika membuang air di tandas sebuah stesen minyak di Taman Desa Cemerlang 2, Johor Bahru, 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang tular di media sosial dan berkata, sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan.

“Kami masih menjalankan siasatan dan yakin dapat menahan suspek dalam tempoh terdekat,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu laporan polis yang mengatakan lelaki bersembunyi di tandas wanita sebuah stesen minyak sebelum merakam mangsa ketika membuang air kecil menggunakan telefon bimbit.

Dalam laporan berkenaan, pengadu mendakwa dalam kejadian 6.45 petang, 24 Ogos lalu, dia terpaksa menunggu di pintu tandas berkenaan kerana isterinya memberitahu ada orang merakam menggunakan telefon bimbit ketika membuang air.

“Ketika membuang air, isteri dapati perbuatannya dirakam dari arah bawah tandas sebelah di dalam tandas wanita,” katanya.

Berikutan itu, suaminya menunggu 5 minit sebelum seorang lelaki keluar dari tandas wanita berkenaan.

Suami mangsa yang mengesyaki lelaki itu merakam video isterinya menegur suspek dan ketika mahu berjumpa pengurusan stesen minyak untuk mengadu kejadian lelaki itu melarikan diri.

Bagaimanapun, isterinya berjaya merakam video lelaki berkenaan dan nombor pendaftaran Perodua Myvi kelabu yang dipandunya sebelum menyerahkan segala butiran kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:38 PM