MOHD Zulhelmi menunjukkan Set Pembelajaran Catur Eksplorasi Cabaran Sejarah Dunia dihasilkannya.
MOHD Zulhelmi menunjukkan Set Pembelajaran Catur Eksplorasi Cabaran Sejarah Dunia dihasilkannya.
Faliq Lajim


DEMI menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Sejarah, seorang guru menghasilkan inovasi pendidikan iaitu permainan interaktif catur berkonsepkan belajar sambil bermain.

Set Pembelajaran Catur Eksplorasi Cabaran Sejarah Dunia itu dicipta Guru Cemerlang Sejarah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, Mohd Zulhelmi Mansor, 44.

Malah, lebih membanggakan apabila set catur itu dijemput untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan pameran Perdagangan Antarabangsa bagi Idea Inovasi dan Reka Cipta Baharu (iENA) di Nuremburg, Jerman, bulan depan.

Mohd Zulhelmi berkata, inovasi itu dibuat bagi membolehkan kandungan dalam subjek Sejarah itu menjadi lebih menarik selain memastikan penyampaian guru tidak membosankan.

“Segelintir pelajar menganggap subjek Sejarah agak membosankan dan mendatar. Alasan sering mereka beri berikutan menghadapi kesukaran untuk mengingat serta hafal fakta.

“Masalah kurang minat dalam subjek Sejarah ini bukan dihadapi pelajar di negara ini, malah berlaku di Amerika Syarikat dan negara lain.

“Oleh itu, kita kena kreatif untuk tarik minat mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, produk inovasi dicipta beliau berkonsepkan ‘Fun Learning’ yang berfungsi sebagai alat bantuan mengajar melalui pembelajaran Sejarah sambil bermain papan permainan catur.

“Selalunya permainan catur ini hanya membabitkan buah catur saja. Namun, saya tambah baik dengan menggunakan kad terkandung dengan soalan sejarah.

“Secara ringkasnya permainan dan pihak lawan hanya boleh menggerakkan buah catur mereka sekiranya mereka berjaya menjawab soalan terbabit dengan betul,” kata anak jati Alor Setar, Kedah ini.

Katanya, sejak memperkenalkan set catur terbabit dalam sesi pembelajarannya pada awal tahun lalu, beliau mendapati pencapaian pelajarnya dalam mata pelajaran Sejarah meningkat.

“Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi subjek Sejarah di SMKA Kuala Selangor meningkat bagi 2018 iaitu 2.19 berbanding tahun sebelumnya, 3.11 (Nilai gred GPMP yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).

“Saya harap ia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu inovasi baru dalam pembelajaran Sejarah.

“Pengenalan permainan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari Sejarah, selain menambah ilmu pengetahuan Sejarah dunia dan Malaysia,” katanya.

Mohd Zulhelmi berkata, beliau sedang mengumpul dana bagi membolehkan beliau bersama pelajarnya terbang ke Jerman pada 31 Oktober ini bagi membuat demonstrasi cara bermain di negara itu.

Terdahulu, Mohd Zulhelmi turut mencipta permainan interaktif berkonsepkan belajar sambil bermain iaitu Eksplorasi Cabaran Sejarah (ECS) melalui permainan Monopoli.

Ciptaannya itu membolehkan beliau mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan memenangi emas dalam tiga pertandingan yang diadakan di Amerika Syarikat, New Zeland dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:33 PM