PELAJAR melakonkan watak dalam istana.
PELAJAR melakonkan watak dalam istana.
Fazurawati Che Lah


SEJARAH bermaksud peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau, juga kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang sudah berlaku secara kronologi.

Bagaimanapun, senario sesetengah pelajar kurang meminati mata pelajaran Sejarah bukan perkara baharu. Malah menjadi satu kebimbangan terutama apabila Kementerian Pelajaran Malaysia meletakkan mata pelajaran itu sebagai wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kandungan kurikulum subjek itu yang memerlukan pelajar memahami dan mengingati fakta dianggap membebankan.

Menyedari tanggapan generasi muda masa kini terhadap subjek yang dahulunya dikenali sebagai tawarikh itu, pendidik ini tampil membawa kelainan.

Mohd Zaidi Abdullah, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang, Pulau Pinang, terpanggil untuk memastikan anak didiknya menghayati peristiwa sejarah dengan mentransformasikan kelas mengikut suasana ketamadunan dunia.

ZAIDI (dua kiri) bersama barisan pentadbiran sekolah yang sentiasa memberi sokongan.
ZAIDI (dua kiri) bersama barisan pentadbiran sekolah yang sentiasa memberi sokongan.

Diberikan kepercayaan untuk mengajar mata pelajaran Sejarah dengan lebih berkesan, guru itu memanfaatkan sepenuhnya bilik khas dikenali Teacher Based Classroom yang diberikan kepadanya untuk merancakkan lagi aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) bagi subjek berkenaan.

Menariknya, setiap sudut dihias dengan sudut enam sejarah ketamadunan iaitu sejarah imperialisme, sejarah dunia, sejarah Asia Tenggara, sejarah Sabah dan Sarawak, prasejarah dan sejarah kegemilangan Melayu Melaka.

“Teknik ini hasil inspirasi saya sendiri. Jadi, saya bawa kepada realiti dengan membawa pelajar membayangkan diri berada pada era sejarah mengikut setiap topik yang diajar contohnya seperti sejarah kegemilangan Melayu Melaka.

“Beberapa alat tradisi dan sejarah juga dibina mengikut saiz seperti bunga emas, tepak sirih, kain songket dan cucuk sanggul. Alatan itu penting untuk proses pembelajaran kerana ada sebahagian murid tidak pernah lihat alat itu secara langsung.

“Ketika sesi PdPc, pelajar juga akan berlakon mengikut watak dalam kesultanan Melayu seperti sultan, bendahara, temenggung dan lain-lain supaya mereka benar-benar memahami bab berkenaan,” katanya.

MEJA pelajar dilapik dengan kain songket bagi menampilkan ciri tradisional Melayu.
MEJA pelajar dilapik dengan kain songket bagi menampilkan ciri tradisional Melayu.

Beberapa replika sejarah turut dibina di dalam kelas itu seperti Tembok Besar China, bandar Harrapa dan Mohenjo-Daro, terarium Zaman Kerajaan Maritim, terarium Candi Prambanan, Candi Borobudur dan terarium Mesir Purba.

Menariknya lagi, kelas itu dihiasi dengan prop zaman Kesultanan Melayu Melaka yang menampilkan suasana istana, selain menggunakan warna kuning diraja.

Di satu sudut lain dibina singgahsana raja Melayu. Prop itu dihiasi dengan peralatan tradisi seperti bunga emas dan tepak sirih serta kipas kuning diraja, manakala meja pelajar pula dibaluti dengan kain songket bagi menggambarkan suasana istana Melayu.

Guru berusia 44 tahun itu mengakui gembira kerana berjaya menghasilkan kelainan untuk teknik PdPc biarpun menghabiskan ribuan ringgit untuk mendapatkan hasil berkenaan.

“Saya guna inisiatif sendiri dan hampir RM3,000 dibelanjakan untuk kelas sejarah itu memandangkan kelas ini dipertanggungjawab untuk saya. Ada sebahagian peralatan itu, saya kumpul sikit-sikit sebelum ini.

ZAIDI berada di hadapan prop kesultanan Melayu.
ZAIDI berada di hadapan prop kesultanan Melayu.

“Bukan nilai yang dilihat, tetapi kepuasan, malah saya mahu laburkan lebih lagi untuk anak-anak didik. Saya seronok apabila pelajar masuk kelas terus ‘wow,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Mohd Zaidi berkata dia mula mengajar subjek Sejarah sejak 19 tahun lalu, namun mula menggunakan teknik berkenaan kira-kira tiga tahun lalu bagi menarik minat pelajarnya supaya meny

ukai subjek berkenaan.

Guru itu beruntung kerana pada tahun ini menjadi guru yang diberikan kelas Teachers Based Classroom untuk subjek sejarah, sekali gus memberi peluang menjadi lebih kreatif dalam penyampaian pengajaran kepada pelajar.

Mohd Zaidi berkata, persekitaran kelas memainkan peranan dalam merangsang dan memberi pemahaman kepada pelajar, sekali gus melonjakkan prestasi akademik sekolah.

Katanya, hasil kreativiti berkenaan membantu melonjak peratusan kelulusan mata pelajaran itu dengan sekolahnya mendapat lonjakan saujana bagi pencapaian Sejarah di Pulau Pinang.

TEPAK sirih menghiasi singgahsana istana.
TEPAK sirih menghiasi singgahsana istana.

“Apa yang lebih penting merangsang minat pelajar kerana apa yang dibuat di kelas, tiada di rumah.

“Sesuai dengan pelajar alaf baharu, mereka mahu melihat, memegang dan menyentuh, jadi saya perlu tunjuk supaya mereka faham kerana untuk ke muzium, belum tentu mereka akan pergi.

“Apabila ada pelajar yang bertanya, bentuk bunga emas macam ini ke cikgu? Tepak sireh ma

cam ini ke? Saya sudah cukup gembira kerana mereka mahu tahu dengan lebih lanjut dan itu membuktikan saya dapat merangsang minat mereka untuk belajar sejarah,” katanya.

Seiring dengan kemajuan teknologi dan ketaasuban remaja dengan gajet, guru yang berasal dari Dungun, Terengganu itu turut mengaplikasikan penggunaan jalur lebar (Internet) dan alatan teknologi seperti Mira Screen, telefon bimbit dan paparan kristal cecair (LCD) ketika proses pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:00 AM