ZULHELMI  Ramli. FOTO Ihsan Zulhelmi  Ramli
ZULHELMI Ramli. FOTO Ihsan Zulhelmi Ramli
Redzuan Muharam


SEIRING kepesatan teknologi masa kini dan kepentingan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21), seorang guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong, Perak, menjadikan YouTube sebagai medium untuk berkongsi ilmu dengan cara lebih kreatif.

Menerusi platform berkenaan, Zulhelmi Ramli, 31, memuat naik pelbagai video berkaitan subjek diajar bentuk tutorial berserta grafik dan aktiviti berkumpulan pelajar ketika di dalam kelas.

Menurut Zulhelmi, kaedah itu diguna pakai sejak awal tahun lalu sebagai alternatif bagi menarik minat pelajar dan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Zulhelmi yang mengajar subjek Sains dan Fizik berkata, perkongsian video di platform berkenaan (YouTube) bukan hanya memberi peluang untuknya berkongsi ilmu dan aktiviti pelajar dengan cara santai tetapi mengumpul maklum balas bagi memperbaiki mutu pengajaran.

“Sebenarnya, pendekatan dan idea ini mengambil inspirasi daripada idola saya iaitu ikon Guru STEM Kebangsaan 2017, Norhailmi Abdul Mutalib dan ia dilaksanakan kerana keinginan mencuba sesuatu yang baru.

“Menerusi video yang dimuat naik di YouTube, pelajar dapat menjadikannya sebagai rujukan untuk mengingat semula apa yang dipelajari di kelas sekali gus mengulangkaji pelajaran dengan selesa ketika di rumah atau di mana saja mereka berada.

“Ini salah satu inisiatif saya dan dilaksanakan selepas mengambil kira beberapa aspek antaranya kecenderungan anak muda kini yang lebih meluangkan masa di platform digital seperti laman sosial berbanding menelaah buku.

“Sebagai pendidik, inilah peluangnya untuk saya mengambil peluang dengan memanfaatkan teknologi yang ada bagi memberi nilai tambah dalam sesi P&P,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zulhelmi berkata, setakat ini, inisiatifnya mendapat sokongan pihak sekolah dan diterima baik pelajar yang turut memberi reaksi mereka menerusi ruangan komen di platrform berkenaan.

Selain itu, Zulhelmi juga memanfaatkan saluran berkenaan bagi menghimpunkan bahan pengajaran supaya boleh diakses hanya di hujung jari.

“Pembelajaran Sains sepatutnya menyeronokkan dan tidak seharusnya menjadi subjek yang digeruni, namun segelintir pelajar kurang menggemarinya kerana menganggap ia susah.

“Jadi, perkongsian video dalam bentuk interaktif diharap mengubah persepsi terhadap subjek itu dan maklum balas diberi akan dipertimbangkan bagi mempelbagaikan kandungan supaya bertepatan dengan kehendak pelajar.

“Penggunaan platform berkenaan juga membolehkan saya mendokumentasikan bahan pengajaran dalam bentuk digital berbanding catatan dalam buku P&P semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 8:30 PM