KUALA LUMPUR 06 JULAI 2018. (Gambar Hiasan Kemurungan/Wanita) Keluarga perlu beri sokongan untuk ahli keluarga yang mengalami masalah kemurungan. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 06 JULAI 2018. (Gambar Hiasan Kemurungan/Wanita) Keluarga perlu beri sokongan untuk ahli keluarga yang mengalami masalah kemurungan. NSTP/EMAIL
Muhaamad Hafis Nawawi


TIDAK tahan sering dicabul bapa tiri sejak berusia enam tahun, seorang wanita akhirnya membuka rahsia itu kepada ibu saudaranya sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul pada 13 September lalu.

Sumber berkata, mangsa berusia 19 tahun membuka rahsia selepas dicabul suspek dalam kejadian terbaru pada minggu lalu.

“Ketika itu mangsa sedang tidur di bilik sebelum didatangi suspek berusia 50-an dan mengarahkan adik-beradik lain keluar. Suspek mengunci pintu dan mendekati mangsa sebelum mencabulnya.

“Suspek meminta mangsa merahsiakan perkara ini daripada sesiapa menyebabkan wanita terbabit trauma,” katanya.

Menurut sumber, mangsa bagaimanapun nekad menceritakan apa yang terjadi kepada ibu saudaranya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan itu.

Menurutnya, suspek kini berada di hospital selepas cuba membunuh diri apabila mengetahui perbuatannya itu terbongkar.

“Suspek cuba menggantung diri namun tali itu terputus menyebabkan dia terjatuh sehingga patah tulang pinggul dan kaki kiri serta kanan.

“Kita akan menahannya selepas suspek dibenarkan keluar wad dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:16 PM