KERATAN laporan sebelum ini.
KERATAN laporan sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Khairul Najib Asarulah Khan


BEKAS suami wanita yang ditemui mati dalam bungkusan selimut di rumahnya di Prima Damansara, Petaling Jaya, Rabu lalu menyerah diri kepada polis, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, lelaki itu yang berusia 40 tahun hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan pada 1.35 pagi.

“Perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Petaling Jaya pada 11 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki itu turut membuat laporan polis yang mendakwa dia berada di tempat lain ketika kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa, Nor Hidayah Ahmad, 30, meninggal dunia selepas lemas akibat saluran pernafasan ditutup atau asphyxiation due to smothering selain dihentak dengan objek tumpul di kepala.

Mangsa kemudian ditemui bapanya berusia 61 tahun dalam keadaan dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup timbunan bantal dalam bilik di rumah sewanya di pangsapuri itu.

Susulan itu, polis meminta bekas suami mangsa yang berasal dari Johol, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai operator kilang tampil bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Mayat ibu tunggal dibungkus selimut [METROTV]'

Saluran pernafasan ditutup punca maut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 10:21 AM