TERTUDUH ketika hadir ke mahkamah untuk perintah tahanan reman, 21 September lalu. FOTO Arkib NSTP.
TERTUDUH ketika hadir ke mahkamah untuk perintah tahanan reman, 21 September lalu. FOTO Arkib NSTP.
Murni Wan Omar


OPERATOR kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di sebuah rumah di Prima Damansara, awal bulan lalu.

Zulkifli Joned, 40, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh didakwa membunuh Nor Hidayah Ahmad, 30, di sebuah rumah di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya, antara 8.53 pagi dan 11.20 pagi, 10 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hakim Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang ibu tunggal ditemui maut dalam keadaan dibungkus selimut dan ditutup dengan timbunan bantal di rumah sewanya di pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya.

Mayat mangsa ditemui bapanya berusia 61 tahun ketika mahu mengunjungi anaknya itu di rumah sewa terbabit.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bekas suami Nor Hidayah disambung reman

Serah diri selepas tiga hari

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 5:05 PM