Amir Abd Hamid


BURUH kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengurus berhubung pakej umrah pada Februari lalu.

Tertuduh Muhammad Aqip Mohd Azman, 27, yang memakai baju kemeja corak kotak dan berseluar jean membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd Rahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan dan curangnya menyebabkan mangsa berusia 38 tahun menyerahkan wang bernilai RM32,730.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 6 Jalan Wira 7, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur pada 11 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid menawarkan ikat jamin sebanyak RM35,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun peguam tertuduh Azman Abdullah dalam rayuannya mengatakan jaminan itu terlalu tinggi.

Azman berkata, anak guamnya yang bekerja sebagai buruh kasar berpendapatan RM1,800 sebulan dengan tempat tinggal disediakan majikan.

“Anak guam saya mempunyai seorang isteri tidak bekerja selain sakit dan tinggal di kampung serta menanggung ayah sudah tua berusia 62 tahun dan ibu pula berusia 52 tahun,” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibawa di mahkamah berkenaan diiringi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Inspektor Kumaran Krishnan selepas ditangkap pada 7 pagi hari ini di IPD itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:12 PM
MUHAMMAD Aqip (tengah) dibawa keluar selepas didakwa menipu menipu pakej umrah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
MUHAMMAD Aqip (tengah) dibawa keluar selepas didakwa menipu menipu pakej umrah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.