MOHD Zubairi didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
MOHD Zubairi didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Hidayatidayu Razali


Tumpat: Seorang peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Kampung Seri Pinang 2, Palekbang, pada 3 Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Zubairi Yaacob, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama tiga lelaki yang meninggal dunia iaitu Ahmad Syafiq Abdul Malik, 30, Mohd Khairul Anuar Iskandar, 33, dan Amir Sidi Ahmad, 50, mencuri sebuah kenderaan Ford Ranger berwarna biru milik Mohd Asraf Mohd Asri, 29.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Seri Pinang 2, Palekbang, di sini, pada 1.20 pagi 3 Februari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan membawa hukuman penjara minimum setahun sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser.

Terdahulu, Muhammad Shahril menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Ahmad Adha Amir memohon anak guamnya diberi ikat jamin rendah kerana perlu menyara dua isteri dan lima anak berusia antara empat hingga 15 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, tiga maut dengan dua daripadanya rentung selepas sebuah kereta dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu - Palekbang, 3 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 6:16 PM