WAN Adib Fawwaz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengugut mahu membunuh bapanya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
WAN Adib Fawwaz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengugut mahu membunuh bapanya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


TUKANG gunting mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan mengugut mahu membunuh bapanya menggunakan pisau kerana tidak berpuas hati selepas ditegur menghabiskan keropok lekor yang dibeli.

Tertuduh, Wan Adib Fawwaz Wan Mohd Fauzi, 19, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengacukan pisau ke arah bapanya, Wan Mohd Fauzi Wan Yusof, 46, sebelum mengugut mahu menikam mangsa di sebuah rumah di Kampung Tebauk, jam 10 malam pada 20 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Asri Abu Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, mangsa menegur tertuduh yang menghabiskan keropok lekor tanpa menghiraukan ahli keluarga lain.

Teguran itu menyebabkan tertuduh naik angin lalu mengambil sebilah pisau di dalam biliknya sebelum bertindak mengacukan senjata itu kepada mangsa.

Tertuduh turut mengugut mahu menikam bapanya sehingga berlaku pergaduhan kecil antara dua beranak itu sebelum dileraikan oleh ibu tertuduh.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:21 PM