Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS Perak sedia memberikan bantuan mengesan Pengerusi PKR negeri itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di kompleks sukan di Ampang, Selangor, 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan bantuan sekiranya ia diperlukan.

“Bantuan sekiranya perlu untuk kita mengesan, kita memang akan berikan bantuan.

“Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sudah memberikan kenyataan mengenai kes ini, jadi sekiranya bantuan dipohon, kita akan berikan dari segi risikan maklumat,” katanya.

Razarudin berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Perak Tengah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

Pada majlis itu, Superintendan Barudin Wariso dilantik sebagai Ketua Polis Daerah yang baru menggantikan Mohamad Zainal Abdullah yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

Kelmarin, Abdul Hamid dilaporkan berkata, polis masih berusaha mengesan Farhash Wafa Salvador bagi membantu siasatan kes itu dan pemimpin terbabit masih belum menyerah diri.

Pada 9 malam 31 Ogos lalu, seorang individu mengadu diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi dalam satu kejadian rusuhan bersenjata dipercayai membabitkan lebih 12 lelaki tempatan.

Individu itu dilaporkan mengalami kecederaan koyak di tisu pinggang dan luka anggota badan.

Sementara itu, dalam perkembangan kes membabitkan dakwaan satu rakaman audio suara pegawai khas kepada Exco Kerajaan Negeri, Abdul Yunus Jamhari yang dikatakan cuba menyogok anggota polis, Razarudin berkata, pihaknya akan menghantar audio berkenaan untuk dianalisa forensik.

Katanya, ia bagi mengenalpasti pelaku utama suara berkenaan sebelum kes disatukan dengan siasatan membabitkan Yunus yang didakwa membocorkan minit minit mesyuarat rasmi kerajaan.

Berita berkaitan

Di mana Pengerusi PKR Perak?

Polis masih buru Farhash

Anwar minta Farhash Wafa serah diri

Farhash diminta tampil bantu siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 1:11 PM