Norizuan Shamsuddin


GURU yang juga warden asrama sanggup mengambil kesempatan ke atas muridnya demi memuaskan nafsu.

Bagaimanapun, perbuatan warden itu terbongkar apabila mangsa yang juga murid perempuan tahun lima menceritakan kejadian kepada keluarganya selepas tidak tahan dengan tindakan lelaki itu mencabul dan melakukan amang seksual terhadapnya.

Menurut sumber, kejadian didakwa dilakukan terhadap kanak-kanak berusia 11 tahun itu di asrama sebuah sekolah di daerah Marang.

Katanya, mangsa menceritakan kejadian kepada bapanya ketika pulang ke rumah 29 Ogos lalu.

“Mangsa mendakwa kejadian itu dilakukan warden ketika dia berada di asrama berkenaan.

“Kejadian pertama berlaku April lalu dan suspek didakwa mengulangi perbuatan itu Julai lalu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Selasa lalu.

“Laporan itu juga dibuat sebagai rujukan kepada keluarga mangsa untuk melaporkan perbuatan warden berkenaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut kerana bimbang keselamatan anaknya dan murid lain yang menghuni asrama itu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Amran @ Mohd Zaki Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan pihaknya sudah menahan suspek untuk tindakan lanjut.

“Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:47 PM