BERNAMA

PENGUSAHA ‘Ais Tingkap’ atau air sarbat yang sinonim dengan masyarakat Pulau Pinang, Mohamed Asri Seeni Mohamed, semalam memberikan 1,000 gelas istimewa itu secara percuma kepada pelanggannya, dalam satu majlis yang diadakan di Lebuh Tamil, Georgetown.

Mohamed Asri berkata, majlis itu diadakan bagi menghargai pelanggan yang setia menyokong perniagaan yang diasaskan keluarganya sejak tahun 1919.

“Ia sebagai tanda terima kasih kami terhadap semua pelanggan tidak kira dari pelbagai pelosok negeri, yang telah datang ke sini dan hari ini kami telah memberikan 1,000 gelas ais tingkap percuma kepada pelanggan,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke- 100 Ais Tingkap yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di Lebuh Tamil.

Mohamed Asri berkata, beliau merancang untuk membuka beberapa cawangan perniagaan yang diusahakannya itu termasuk di Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Ais Tingkap adalahminuman ais parut campuran istimewa, yang hanya boleh didapati di Pulau Pinang dan ianya adalah campuran air sirap yang ditambah dengan bahan-bahan untuk menyejukkan badan seperti selasih, kembang semangkuk, getah anggur, isi kelapa, air kelapa dan resepi rahsia iaitu sarbat.

Bagi pengunjung, Kamisah Mazlan, 39, beliau mengetahui kewujudan minuman istimewa itu menerusi rancangan televisyen ‘Majalah Tiga’ dan nekad untuk mencuba apabila berkunjung ke Pulau Pinang.

“Saya tertarik dengan ais tingkap ini dan sememangnya ia tidak mengecewakan. Rasanya amat lazat sekali dan pasti ia menu wajib setiap kali datang ke sini,” kata guru dari Puchong, Selangor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 11:21 AM
MINUMAN ‘Ais Tingkap’ yang disediakan dan diberi secara percuma bagi menghargai pelanggan. FOTO Mikail Ong
MINUMAN ‘Ais Tingkap’ yang disediakan dan diberi secara percuma bagi menghargai pelanggan. FOTO Mikail Ong