MOHAMED Taufiq menyediakan cendol untuk dihidangkan kepada pelanggan yang beratur panjang. (Gambar kanan) Mohamed Taufiq menyiapkan air sarbat di kedai Ais Tingkap, Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
MOHAMED Taufiq menyediakan cendol untuk dihidangkan kepada pelanggan yang beratur panjang. (Gambar kanan) Mohamed Taufiq menyiapkan air sarbat di kedai Ais Tingkap, Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


PADA ketika negara berdepan cuaca panas dan kering sejak bulan lalu, segelintir peniaga minuman di sekitar Georgetown mengambil kesempatan untuk melariskan perniagaan mereka.

Tidak hairanlah jika orang ramai berbaris panjang bagi membeli cendol, ais kepal dan air batu campur sebagai penghilang dahaga.

Begitu juga perniagaan air sarbat atau Ais Tingkap yang popular di Lebuh Tamil, Georgetown yang sudah beroperasi hampir 100 tahun lalu.

Pengusaha kedai Ais Tingkap, Muhamed Jafri Seeni Mohamed, 35, berkata, air sarbat mendapat permintaan luar biasa sejak beberapa minggu lalu dan tidak hairanlah jika melihat pengunjung beratur di bawah cuaca terik bagi membeli segelas air itu.

Katanya, air sarbat adalah campuran air dan isi kelapa, getah anggur, biji selasih, akar sarbat dan sirap gula selain lemon dan laici mengikut pilihan.

“Selain menyejukkan badan, campuran air akar sarbat dipercayai boleh melegakan sakit tekak jika diminum tanpa ais.

“Pada hari biasa kami menjual kira-kira 200 gelas, namun beberapa minggu kebelakangan ini, jualannya meningkat sehingga 350 gelas setiap hari,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama adiknya, Mohamed Taufiq.

Air sarbat dijual pada harga RM2.50 hingga RM4 segelas dan turut menjadi pilihan ialah cendol yang dijual pada harga RM2.90 hingga RM4 semangkuk.

Tinjauan mendapati orang ramai mula berbaris di kedai ais tingkap seawal 11 pagi bagi menikmati keenakan minuman itu.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow, berkata, orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air kosong semasa cuaca panas.

Katanya, aktiviti di luar rumah perlu dihadkan terutama bagi kanak-kanak dan warga emas kerana dibimbangi mudah mendapat serangan strok haba.

“Boleh sahaja menikmati air manis atau berais ketika cuaca panas, namun ia perlu dikurangkan.

“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air kosong bagi mengelakkan hidrasi.

“Air kelapa menjadi isotonik semulajadi bagi mengekalkan kesegaran selain soya dan tebu,” katanya.

Dalam kemaskini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan status gelombang haba di Semenanjung Malaysia dijangka mencecah 36.9 darjah Selsius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:36 AM