GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Secara keseluruhan 2,082 syarikat dari seluruh negara dengan jumlah pekerja 301,050 orang memohon menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat 16 Jun, 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertambahan jumlah permohonan menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.

Beliau berkata ini merupakan antara petunjuk kejayaan program PIKAS buat pemain industri.

"Bagi merancakkan lagi usaha ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menilai beberapa lokasi berpotensi PPV untuk program PIKAS.

"Usaha ini akan dipertingkatkan bagi menampung permohonan syarikat yang semakin bertambah sekali gus mempercepat proses vaksinasi bagi pekerja dalam sektor kritikal," katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya, pada Jumaat.

Setakat 16 Jun, 2021 lebih 1,733 syarikat dengan jumlah pekerja 280,820 orang telah mendaftar dengan PIKAS, dengan 186 syarikat daripada jumlah keseluruhan itu ialah pemain industri di Pulau Pinang yang melibatkan 139,851 pekerja, katanya.

Mohamed Azmin berkata melihat kembali semasa PIKAS mula diperkenalkan pada 12 Jun, 2021, MITI hanya menerima permohonan lebih 500 syarikat dengan jumlah pekerja sebanyak 106,591 orang sahaja.

Beliau berkata, PIKAS di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jawi Golf Resort merupakan kerjasama 21 syarikat pembuatan yang berpusat di Taman Perindustrian Batu Kawan dan menjangkakan 16,402 pekerja menerima suntikan vaksin sepanjang program itu yang bermula pada 16 Jun lepas.

Selain PPV-PIKAS Bukit Jawi Golf Resort, ada beberapa PPV lagi yang akan beroperasi di Pulau Pinang, antaranya PPV di Hotel Equatorial mulai 28 Jun ini, katanya.

Selain itu, tiga lagi PPV akan beroperasi di Bayan Lepas melibatkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn Bhd; Jabil Circuits Sdn Bhd dan Plexus Manufacturing Sdn Bhd manakala satu lagi di Batu Kawan iaitu Inari Amerton Bhd.

PPV ini akan mula beroperasi apabila mendapat kelulusan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), katanya.

Mohamed Azmin juga berkata di Johor sahaja, sebanyak 255 syarikat telah berdaftar dengan jumlah pekerja 14,357 orang.

Beliau berkata, PPV-PIKAS Pengerang, Johor juga mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada pemain industri.

"Sebanyak 5,123 pekerja dijangka menerima vaksin di lokasi ini dan mereka merupakan Model 2 PIKAS iaitu PPV di Tapak Premis. Di samping itu, terdapat satu lagi PPV di Johor dalam persiapan untuk beroperasi iaitu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin menggunakan PPV Penggunaan Umum mengikut Model 1 PIKAS," katanya.

Beliau berkata, PIKAS akan dapat berjalan dengan lancar dan selesai mengikut jadual.

"Oleh itu, kita dapat mempercepat usaha negara dalam melandaikan keluk pandemik COVID-19 dan ekonomi negara berjalan lancar serta rakyat boleh menikmati kehidupan seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:12 PM