BOMBA memadam kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Siraj Mohd Zaini


DUA beranak maut selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler dan terbakar di Kilometer 9.2 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR) menghala ke Kuala Lumpur, dekat Kuala Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Muhd Ridzo Fadzly Rosely, 37 dan anak lelakinya, Ahmad Ariffin, yang berusia dua tahun.

Kemalangan itu turut mengakibatkan isteri Muhd Ridzo, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33 serta seorang lagi anak mereka, Danish, dua tahun, parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Asri A Wahab berkata, siasatan polis mendapati Proton Persona dipandu Muhd Ridzo hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar belakang sebuah treler.

Menurutnya, akibat kemalangan, Muhd Ridzo serta anak lelakinya yang berada di tempat duduk hadapan tersepit dan gagal dibawa keluar sebelum kereta terbabit terbakar.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.

“Isteri serta seorang lagi anak mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Asri berkata, mangsa yang tersepit dibawa keluar oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan Rawang.

“Bedah siasat kedua-dua mangsa pada jam 6 pagi tadi mendapati punca kematian adalah kebakaran akibat kemalangan jalan raya.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 9:49 AM