Idris Musa


KERTAS kerja berkaitan Program Subsidi Petrol Bersasar untuk kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah sudah siap dan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri, dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang tindakan yang akan diambil tertakluk kepada keputusan dicapai pada mesyuarat itu nanti.

“Saya tidak boleh mendahului jemaah menteri, kerana ini adalah polisi baharu. Kita belum pernah melaksanakannya, sudah tentu anggota jemaah menteri mungkin ada pandangan yang mesti saya hormati.

“Tapi di peringkat kementerian, kami telah selesai menghasilkan satu kertas untuk jemaah menteri yang mengambil kira semua aspek yang kami anggap munasabah. Menunggu masa untuk saya bentangkan saja,” katanya.

BEKALAN minyak yang sukar diperoleh di Kampung Losong di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.
BEKALAN minyak yang sukar diperoleh di Kampung Losong di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutup Karnival Jualan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) di Padang Perpustakaan Awam, Pantai Dalam di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan minyak masak jenama baharu, Lestari yang dijual pada harga RM16.50 bagi lima kilogram.

Karnival empat hari bermula Jumaat lalu, bertujuan memperkenalkan inisiatif baharu itu sebagai penjenamaan semula terhadap Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dihentikan.

Mengulas mengenai i-KeeP, Saifuddin berkata, ketika ini ada 368 kedai i-KeeP membabitkan 10 rakan kongsi peruncit dan menjelang 2020, disasarkan sejumlah 500 kedai dibuka di seluruh negara.

“Ciri yang kena ada pada kedai ini ialah ia mesti menjual produk utama pengguna pada harga rendah yang membawa sekurang-kurangnya 30 peratus penjimatan terhadap barangan keperluan utama pengguna,” katanya.

Berkenaan isu harga ubat, beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan ia penting kerana aspek penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Dalam perbincangan kami, saya difahamkan Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) sedang dalam peringkat akhir untuk mengenal pasti mekanisme atau kaedah bagi menentukan sesuatu jenis harga ubat di negara kita,” katanya.

Ditanya gesaan memboikot barangan bukan Bumiputera oleh segelintir pihak, beliau berkata, boikot bukan jalan sewajarnya.

“Saya lebih melihat perlunya ada sikap saling memahami, membantu, menghormati dan mendukungi termasuk dalam aktiviti ekonomi, kerana kita akan menjadi sebuah negara yang unggul kalau masyarakatnya dapat menghormati.

“Manfaatkan kekuatan kita bersama dalam kepelbagaian dan hormat perbezaan antara kita. Dalam ekonomi terbuka, rakyat pelbagai kaum, kita saling hidup bergantung antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 4:50 PM