PRIHATIN Mart beroperasi mengikut jadual di empat DUN di Hulu Terengganu. FOTO BERNAMA
PRIHATIN Mart beroperasi mengikut jadual di empat DUN di Hulu Terengganu. FOTO BERNAMA
Nazarali Saeril

Tiba-tiba Prihatin Mart jadi tumpuan ramai. Warga Hulu Terengganu, Terengganu antara yang 'bising' berkaitan kedai runcit bergerak yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah ini.

Ketika masyarakat cukup terkesan dengan rantaian masalah angkara penularan Covid-19, ini yang mereka mahukan iaitu 'beli barang pada harga murah namun kualiti terjamin.'

Kenapa Prihatin Mart hanya di satu lokasi saja, bukan di seluruh negara?

Ikuti wawancara Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna DATUK ROSOL WAHID bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengulas konsep kedai runcit bergerak Prihatin Mart.

ROSOL. FOTO Arkib NSTP
ROSOL. FOTO Arkib NSTP

Prihatin Mart meniti di bibir ramai. Bagaimana tercetus idea bagi menggerakkan inisiatif ini?

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira inisiatif serta matlamat untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kesan serta cabaran Covid-19 ini mendapat maklum balas sangat baik.

Ramai yang saya temui menzahirkan rasa terima kasih kerana usaha ini dilihat benar-benar membantu mereka dalam mendepani bebanan untuk menyara kehidupan di saat ada dalam kalangan kita yang kehilangan pekerjaan, ada yang hanya dibayar separuh gaji, ada yang tak dapat berniaga, malah ada yang terpaksa bekerja secara bergilir, sekali gus menyebabkan pendapatan mereka berkurangan.

Ini sangat memberi kesan kepada kehidupan dan kita mendengar keluh kesah mereka.

Daripada situlah timbulnya idea untuk saya bawakan Prihatin Mart ini, kedai runcit bergerak yang menawarkan jualan barangan asas seperti beras, minyak masak, susu pekat, gula, tepung sardin, kicap dan pelbagai lagi.

Prihatin Mart ini program subsidi bersasar yang mana saya mahu pastikan setiap golongan memerlukan dan kurang berkemampuan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Jika bantuan yang sering saya sampaikan seperti bakul makanan bertumpu kepada golongan miskin, Prihatin Mart ini menyasarkan sasaran bantuan dan subsidi yang lebih besar dan meluas.

Tarikan utama Prihatin Mart?

Tarikan Prihatin Mart sudah tentu pada potongan harga yang ditawarkan.

Potongan sehingga 30 peratus untuk setiap jumlah pembelian memberi satu nilai besar kepada pengguna.

Ketika ini, potongan harga sehingga 30 peratus yang diberikan kepada pengguna adalah subsidi yang ditanggung oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Bayangkan, jika nilai pembelian pada harga biasa, pengguna perlu membayar RM100 untuk beberapa barangan.

Bagaimanapun, di Prihatin Mart, pengguna hanya perlu bayar RM70 sahaja. Ia nilai penjimatan yang besar.

Disebabkan itu, sejak hari pertama Prihatin Mart dilancarkan pada 1 Februari lalu sehinggalah setiap kali sesi jualan, barangan dijual habis dibeli orang ramai dalam tempoh kurang tiga jam.

Beras, minyak masak botol lima kilogram dan bawang antara yang paling laris dijual.

Seperkara lagi, konsep Prihatin Mart yang datang kepada pengguna memberi kelainan berbanding pengguna yang perlu keluar ke lokasi tertentu seperti di bandar untuk membeli barang keperluan.

Ia sekali gus memudahkan serta menjimatkan kos pengangkutan terutama bagi mereka yang berada di luar bandar dan jauh daripada kedai atau pasar raya.

Setakat ini, Prihatin Mart beroperasi mengikut jadual ditetapkan dan menemui penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Hulu Terengganu.

Pada setiap kali sesi jualan, Prihatin Mart dapat memanfaatkan sekitar 200 hingga 300 penduduk di sesebuah kawasan.

Rakyat 'bising' kerana Prihatin Mart hanya di Parlimen Hulu Terengganu. Cadangan untuk diperkenalkan di negeri lain dan bagaimana Datuk melihat permintaan ini?

Prihatin Mart ini adalah projek perintis yang saya usahakan untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

Saya sentiasa berfikir apa yang boleh saya lakukan untuk bantu rakyat, untuk ringankan beban rakyat.

Saya akui, sejak ia dilancarkan 1 Februari lalu dan selepas beberapa siri pelaksanaannya di Dun Telemong, Ajil dan Kuala Berang, banyak ulasan saya terima di laman sosial dan pertanyaan rakan-rakan Ahli Parlimen di seluruh negara yang mahu Prihatin Mart dibawa ke kawasan mereka.

Ini satu perkembangan menggembirakan dan sudah tentu, sebagai kerajaan yang prihatin dengan keperluan rakyat, kita berhasrat memperluaskan operasi Prihatin Mart di seluruh negara, bukan sahaja dalam tempoh cabaran Covid-19 ini namun secara berterusan untuk membantu golongan B40 dan berpendapatan rendah.

Saya berterima kasih kepada media yang memberi liputan meluas terhadap usaha ini.

Kita berusaha melebarkan sayap Prihatin Mart ke seluruh negara dan sedang melihat cara terbaik bagi melaksanakannya.

Umpama kenderaan saji (food truck), Prihatin Mart perlu lebih banyak kenderaan untuk perluaskan operasi. Adakah Prihatin Mart ini akan menggantikan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KEEP)?

Kita dalam perancangan untuk menjadikan Prihatin Mart ini sebagai program kementerian yang dilihat dapat menambah baik atau menggantikan i-KEEP.

Kita sedang merangka pelaksanaannya kerana menjadi harapan kementerian untuk program berkonsepkan Prihatin Mart ini dapat diperluaskan ke seluruh negara.

Kita amat mengalu-alukan penyertaan pihak industri peruncitan untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

Golongan miskin bandar turut memerlukan Prihatin Mart dan tidak hanya di kawasan pedalaman.

Sudah tentu kita melihat Prihatin Mart ini tidak hanya boleh membantu masyarakat luar bandar, tetapi juga masyarakat di kawasan bandar.

Kita sedar tekanan dialami golongan miskin bandar kerana bebanan kos sara hidup lebih tinggi.

Memang kita berhasrat untuk bawakan Prihatin Mart ini ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.

Kita juga sedang berusaha untuk melihat bagaimana Prihatin Mart ini boleh diadakan lebih kerap supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai golongan secara berterusan.

Akan kekal kepada konsep kenderaan bergerak atau mungkin kerajaan akan menjadikan Prihatin Mart projek nasional?

Insya Allah, kita akan mengekalkan konsep ini kerana kita mahu mengadaptasi prinsip 'kedai mencari rakyat atau pengguna.'

Kita mahu bantu rakyat, jadi kita cuba permudahkan untuk rakyat.

Sebagaimana yang saya maklumkan tadi, Insya-Allah kita sedang berusaha untuk memperluaskan pelaksanaan Prihatin Mart ini ke seluruh negara kerana kerajaan sentiasa prihatin untuk membantu meringankan bebanan rakyat.

Kita mahu lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 7:05 AM