JAAFARIA Souq menjadi pilihan jemaah haji untuk mendapatkan barangan pada harga borong.
JAAFARIA Souq menjadi pilihan jemaah haji untuk mendapatkan barangan pada harga borong.
Yusri Abdul Malek

MAKKAH: Sebut Pasar Jaafaria atau Jaafaria Souq, tidak semua jemaah haji yang tahu kerana keutamaan mereka ketika ini adalah mengerjakan haji dan mungkin selepas menyelesaikan rukun Islam kelima itu, baru hendak berfikir bagi membeli-belah.

Beroperasi kira-kira 1.5 kilometer dari Masjidilharam, pasar yang terletak dalam bangunan itu adalah lokasi beli-belah secara borong yang sesuai buat jemaah yang mahu mendapatkan cenderamata sebagai ole-ole untuk dibawa pulang ke tanah air.

Terdapat puluhan kedai menjual pelbagai barangan daripada jubah hinggalah ke barangan elektrik dan barang kemas.

Malah, kekerapan jemaah haji Malaysia dan Indonesia ke pasar itu menyebabkan ramai peniaga dalam kalangan Arab berkenaan boleh berbahasa Melayu dengan fasih.

“Murah...murah...mari beli boleh diskaun...halal,” itu perkataan yang kerap diucapkan peniaga bagi menarik jemaah membeli di kedai mereka.

Jika pandai menawar akan dapat harga yang kita mahu terutama jika membeli secara borong.

TASBIH pelbagai warna adalah cenderamata yang paling popular untuk dibawa pulang ke tanah air.
TASBIH pelbagai warna adalah cenderamata yang paling popular untuk dibawa pulang ke tanah air.

Disebabkan itu, jemaah dinasihatkan berpakat untuk membeli barang dalam kuantiti yang banyak bagi mendapatkan harga murah terutama apabila membeli jubah, jilbab, tasbih, minyak wangi dan barangan cenderamata yang lain.

Seorang peniaga Abdulyusoff berkata, menjelang musim haji, perniagaan jubahnya akan berlipat kali ganda.

“Kita simpan stok sejak sebelum Ramadan kerana permintaan ketika hari raya Aidilfitri dan musim haji adalah tinggi.

“Kamu boleh beli jubah wanita pada harga SR20 dan baju jubah kanak-kanak pada harga SR10. Kalau beli banyak lagi murah,” katanya.

Penulis juga mendapati harga yang ditawarkan hampir sama dengan harga di tempat beli-belah lain di sini kecuali jika membeli secara borong.

Jika jemaah terlalu menawar dengan harga murah, akan kedengaran peniaga yang merungut.

Itu sebahagian asam garam dalam perniagaan dan jika jemaah mahu harga borong pergilah ke pasar ini.

BARANGAN perhiasan rumah yang berkemasan pasti menarik perhatian jemaah untuk membelinya sebagai hadiah.
BARANGAN perhiasan rumah yang berkemasan pasti menarik perhatian jemaah untuk membelinya sebagai hadiah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:50 AM