Khairul Najib Asarulah Khan


PASANGAN kekasih ditahan selepas dipercayai aktif mengedarkan dadah sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu di Laman Rimbunan Kepong, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, lelaki berusia 27 tahun bersama kekasihnya berusia 25 tahun itu ditahan selepas polis menemui 10 paket lut sinar disyaki ketamin dalam Nissan Navara dinaiki mereka.

Katanya, pihaknya turut menahan rakan lelaki mereka berusia 39 tahun yang berada dalam kenderaan sama.

“Dalam pemeriksaan itu, pihak kami turut menemui sejumlah wang tunai keseluruhan bernilai RM13,650.

“Hasil soal siasatan, polis membuat serbuan di sebuah kondominium dan premis perniagaan di sekitar Lembah Klang dan menemui pelbagai jenis dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, antara dadah yang dirampas ialah 26 paket ketamin seberat 869 gram, 58 paket serbuk ekstasi, 1,255 pil ekstasi, 120 biji pil erimin 5 dan 87 batang rokok berisi ganja.

“Semua dadah yang dirampas bernilai RM117,650 mengikut harga pasaran semasa.

“Ketiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:30 PM
SHANMUGAMOORTHY (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohd Shahril Badri Saali
SHANMUGAMOORTHY (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohd Shahril Badri Saali