Lucas (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Operasi di sebuah premis di Johor Bahru pada sidang media di Pusat Media, IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Lucas (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Operasi di sebuah premis di Johor Bahru pada sidang media di Pusat Media, IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai RM630,950 di sebuah pusat hiburan dekat bandar raya Johor Bahru, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 2.30 pagi, suspek berusia 40 tahun itu ditahan bersama hampir 7,550 gram dadah pelbagai jenis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, pihaknya menjalankan serbuan itu selepas mendapat maklumat yang disalurkan orang awam berhubung aktiviti pengedaran dadah di premis berkenaan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 2.063 kilogram (kg) ketamin, 7,801 biji pil ekstasi dengan berat 2.3 kg, 1.07 kg daun rokok ekstasi, 15 kotak Oral Jelly Ekstasi seberat 720 gram, lebih 500 batang rokok ekstasi seberat 435.75 gram dan 378 gram serbuk ekstasi.

"Kita turut merampas 215 gram pil erimin 5, 18 paket serbuk ekstasi dalam bentuk sachet, lima liter atau sebotol cecair ekstasi pekat berperisa mangga, 85 gram cecair ekstasi, 80 gram ganja dan 13 gram heroin.

"Semua dadah inu dianggar bernilai RM630, 950," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Menurut Lukas, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati sekiranya bekalan dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh menampung kira-kira 20,000 penagih dadah.

Katanya, pihaknya percaya semua bekalan yang dirampas itu adalah bagi pasaran sekitar bandar raya Johor Bahru dan mensasarkan pelanggan di pusat-pusat hiburan.

"Suspek yang dipercayai bekerja di pusat hiburan itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dia juga didapati positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing yang dibuat terhadapnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 6:01 PM