FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


GUNA aplikasi WeChat untuk urusan penghantaran bekalan dadah. Itu taktik digunakan sindiket pengedaran dadah yang aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang.

Helah itu terbongkar apabila empat lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam sindiket itu ditahan bersama rampasan dadah, wang tunai serta kereta dianggarkan bernilai RM1.09 juta dalam serbuan berasingan Jalan Ipoh, di sini dan Batu Caves, Selangor pada 22 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan sebuah kereta Volkswagen di tepi jalan berhadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini, dan menahan seorang lelaki berusia 19 tahun jam 9.40 pagi.

"Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui pil ekstasi seberat 3,490 gram dianggarkan bernilai RM240,000 selain merampas wang tunai RM270 dan kereta Volkswagen berkenaan yang dianggarkan bernilai RM40,000.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, erimin 5 dan ketamin oleh seorang lelaki sejak awal Oktober tahun lalu di sekitar Lembah Klang dengan urusan jual beli dadah dan pembayaran adalah secara deposit ke akaun bank," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, bertindak atas hasil siasatan dan dipandu arah oleh suspek pertama, pihaknya membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Batu Caves, Selangor jam 10.20 pagi hari sama.

"Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah itu, kami menemui 1,336 erimin 5 seberat 2,578 gram, ketamin (2,600 gram), pil ekstasi (221 biji), syabu (45.66 gram) dan pil erimin 5 (780 biji atau 213.43 gram) dianggarkan bernilai RM645,526 selain merampas wang tunai sebanyak RM11,344.

"Dalam serbuan ketiga jam 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Selayang Baru, Batu Caves, Selangor, kami menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 31 tahun. Hasil pemeriksaan terhadap semua suspek dan rumah itu tidak menemui dadah.

"Bagaimanapun, dalam serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM26,261, sebuah kereta Mercedes E 200 bernilai RM70,000 dan sebuah kereta Honda HRV bernilai RM65,000," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan dilakukan terhadap semua suspek mendapati seorang daripada mereka yang berusia 31 tahun mengaku terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki.

"Urusan jual beli dadah dibuat menggunakan aplikasi WeChat dan bayaran dibuat semasa penghantaran. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula 23 hingga sehingga 29 April ini.

"Kami giat mengesan beberapa individu lagi yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah oleh sindiket berkenaan di sekitar Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, Polis Kuala Lumpur sentiasa komited membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Justeru, kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah di ibu kota ini supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau menghubungi mana–mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 5:37 PM