Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


NIAT dua lelaki ingin mencuri sebuah kereta di perhentian bas di hadapan sebuah restoran di Lebuhraya SPRINT gagal selepas disedari anggota polis yang sedang membuat rondaan sebelum menahan mereka hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, kedua lelaki berusia 31 dan 36 tahun terbabit sedang mengumpil tingkap kereta Toyota Vios sebelum disedari anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang sedang membuat rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, menyedari kehadiran polis, suspek terus melarikan diri dengan menaiki dua kereta Proton Waja sebelum anggota MPV mengejar mereka.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian ditahan di Plaza Tol Damansara sebelum dibawa ke pengkalan MPV untuk tindakan selanjutnya.

“Semakan mendapati mereka memiliki rekod orang dikehendaki mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta khianat.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu pula menemui pemutar skru dipercayai untuk melakukan kegiatan mereka itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:04 PM