KAMBING yang dicuri dua lelaki disumbat dalam Honda Jazz. FOTO Ihsan PDRM
KAMBING yang dicuri dua lelaki disumbat dalam Honda Jazz. FOTO Ihsan PDRM
Safuri Kamarudin


TINDAKAN dua lelaki cuba mencuri kambing dengan menyumbat masuk ke dalam Honda Jazz, gagal selepas perbuatan mereka disedari anggota unit peronda polis (MPV) yang sedang meronda di Jalan Carok Nau, Baling, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, anggota MPV yang sedang membuat rondaan di kawasan terbabit terserempak dengan kereta dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superitendan Mohd Yusuf Shaari berkata, bagaimanapun ketika membuat pemeriksaan, mendapati dua lelaki berusia 33 dan 48 tahun sedang memasukkan kambing ke dalam kereta itu.

Menurutnya, anggotanya kemudian terus bertindak menahan suspek dan pemeriksaan lanjut menemui tiga ekor kambing berada di tempat duduk belakang dipercayai dicuri.

"Kita turut merampas jarum sumpit, beg galas, botol ubat pelali dan paip PVC digunakan untuk menyumpit.

"Siasatan dijalankan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mencuri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusuf berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek direman empat hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:30 PM