Lelaki yang mahu mencuri kereta tertidur di tempat duduk penumpang hadapan. FOTO Ihsan PDRM
Lelaki yang mahu mencuri kereta tertidur di tempat duduk penumpang hadapan. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


NIAT nak curi tapi tertidur pula. Itu yang berlaku terhadap lelaki yang mahu mencuri kereta namun tertidur dalam kenderaan itu di Taman Markisah, Bukit Mertajam semalam.

Dalam kejadian 6 pagi itu, lelaki terbabit disedari tertidur di bahagian penumpang hadapan oleh abang kepada pemilik kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pengadu berusia 59 tahun ke rumah adiknya untuk mengemas kediaman itu.

“Rumah itu ditinggalkan tidak berpenghuni sejak seminggu lalu kerana bapa mereka meninggal dunia dalam kediaman itu dan upacara sembahyang belum dilakukan.

“Abang mangsa ke rumah itu untuk mencuci dan mengemas namun terkejut apabila melihat cermin bahagian penumpang hadapan Proton Saga milik adiknya diturunkan separuh,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pelik melihat kejadian itu abang mangsa membuat pemeriksaan dan terkejut apabila melihat lelaki sedang tidur di bahagian penumpang hadapan kereta.

“Abang mangsa menghubungi polis dan suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati dia memiliki lima rekod lampau iaitu dua kes jenayah dan tiga dadah.

“Siasatan juga mendapati suspek cuba mencuri kereta terbabit namun dia keletihan dan tertidur tanpa menyedari abang pemilik kereta datang ke rumah itu,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 4:06 PM