MOTOSIKAL dipercayai dicuri yang ditemui pada seorang lelaki di Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
MOTOSIKAL dipercayai dicuri yang ditemui pada seorang lelaki di Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek


CURI di Teluk Intan, Perak, tunggang di Lembah Klang. Begitu tindakan berani seorang lelaki bersiar-siar dengan menunggang motosikal curi sebelum kantoi apabila ditahan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Petaling Jaya, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 30-an dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum polis memintanya berhenti untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) daerah Petaling Jaya.

“Ketika anggota Unit MPV sedang menjalankan rondaan di Lebuhraya NKVE, pihak kami mendapati seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha LC berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota menahan lelaki itu sebelum membuat pemeriksaan. Semakan terhadap nombor pendaftaran motosikal berkenaan bagaimanapun mendapati ia dilaporkan hilang di Teluk Intan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya kemudian menahan suspek dan membawanya ke balai polis untuk tindakan lanjut sebelum mendapat perintah reman selama empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan. Siasatan lanjut akan dibuat bagi melihat pembabitan suspek dalam jenayah jalanan lain terutama membabitkan curi motosikal di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 3:34 PM