FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA lelaki dipercayai terbabit pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Petaling Jaya, ditahan di Damansara, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, tiga suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan polis ketika membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan, kira-kira 1 pagi.

“Sepasukan polis berkenaan terserempak dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap MPV berkenaan, kami menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, antara peralatan yang di temui adalah ‘allen key’ dan spanar yang diubah suai.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah membabitkan kes curi kenderaan dan dadah.

“Malah, suspek terbabit adalah individu dikehendaki berhubung kes curi kenderaan yang dilaporkan di Sentul, Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 1:12 PM