VIDEO penyertaan Qobin di bit.ly/qobinforpolar.
VIDEO penyertaan Qobin di bit.ly/qobinforpolar.
Oleh Wan Jailani Razak


PENJELAJAH Grand Slam negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin kini mendahului undi kedudukan pertama dari lapan negara Asia Oceanic bagi pemilihan ke Polar Fjallraven 2019, Ekspedisi Luncur Salji sejauh 300 kilometer (km)di Lingkaran Kutub Utara.

Qobin berkata, sehingga 7 pagi, beliau mendapat sebanyak 12,559 undi berbanding pencabar dari negara jiran, Indonesia yang menduduki tempat kedua dengan 12,488 undi.

“Saya perlu konsisten dan ingin terus berada di depan menerusi undian semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia bagi merealisasikan impian membawa nama Malaysia dan Asia Oceanic ke Polar Fjallraven nanti,” katanya, hari ini.

Hari undian berbaki 14 hari lagi apabila pemilihan ditutup pada 13 Disember ini.

Qobin berharap rakyat Malaysia tahu, bahawa undian mereka begitu berharga.

Justeru, beliau berkata, orang ramai boleh melayari alamat bit.ly/qobinforpolar untuk membantunya terpilih membawa nama Malaysia dan Asia Oceanic ke Polar Fjallraven.

“Bukan mudah nak menarik dan memujuk semua mengundi tetapi Alhamdulillah ramai yang sangat bersemangat untuk membantu dan berkongsi laman undian. Menerusi cara ini, akan lebih ramai faham bagaimana cara mengundi.

“Apa yang menarik, menerusi cara undian ini sebenarnya, banyak memberi manfaat kepada saya. Antaranya saya mulai rapat dengan rakan Facebook, Instagram dan Twitter.

“Saya juga belajar dari segi pemasaran, berkomunikasi dengan lebih baik, aktifkan hidup bertegur sapa, menambah bilangan rakan di Malaysia dan luar negara serta menaikkan semangat cintakan tanah air agar terus gah di mata dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 8:08 PM