PENDUDUK kampung bantu mengangkat saki baki tanah dua kubur milik pejuang Kerajaan Pattani untuk dipindahkan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PENDUDUK kampung bantu mengangkat saki baki tanah dua kubur milik pejuang Kerajaan Pattani untuk dipindahkan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


DUA kubur lama milik pejuang kerajaan Pattani digali semula di Kubur Tok Kuda, Pulong, Kubang Kerian untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Langgar Surau Lundang, Kota Bharu, hari ini.

Kubur berusia 187 tahun itu milik Wan Hassan Wan Ahmad dan hulubalang kepada ayahnya.

Dua pejuang itu dikebumikan di kawasan berkenaan selepas meninggal dunia ketika berjuang dengan kerajaan Thailand bagi menuntut bela kematian ayahnya yang dikenali sebagai Wan Ahmad, iaitu Perdana Menteri Kerajaan Pattani pada masa itu.

Setiausaha Pertubuhan Kerabat Dato Lundang Kelantan, Long Muhammad Wan Muhammad Noor berkata, dua pejuang itu dikebumikan di kawasan perkuburan berkenaan pada 1832 dengan kawasan itu menjadi kubu persembunyian mereka.

“Selepas Wan Hassan dan hulubalang ayahnya meninggal dunia, mereka dikebumikan di kawasan itu yang juga tanah persendirian milik penduduk kampung.

“Pada hari ini, kita mengambil komitmen untuk menggali semula kubur itu bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Langgar Surau Lundang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, dua kubur itu digali semula menggunakan jengkaut yang dibantu penduduk kampung dan dipantau oleh Pegawai Hal Ehwal Imarah Masjid Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Roslee Ismail.

Sementara itu, pemilik tanah Roslan Afandi Nazi, 54, berkata, beliau mengetahui kewujudan dua kubur itu sejak 1970-an lagi.

Katanya, tanah seluas 0.4 hektar dimiliki ayahnya dan tidak kisah sekiranya dua kubur berkenaan kekal di situ.

“Namun, sebulan lalu pihak Pertubuhan Kerabat Dato Lundang Kelantan memaklumkan dua kubur itu akan digali semula untuk dikebumikan di kawasan lain.

“Untuk itu, saya bercadang membina rumah di tapak berkenaan dalam tempoh satu ke dua tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 1:20 PM