Mohd Rafi Mamat


Pekan: Sebanyak 33 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu, dekat sini yang terletak di tebing Sungai Pahang dipindahkan berikutan kejadian hakisan yang serius sejak lebih tiga tahun lalu.

Pengerusi Masjid Besar Ganchong, Mohd Nor Azmi Nordin, 67 berkata mengikut rekod kubur terbabit berusia antara tiga hingga 10 tahun dan masih dalam baik serta sempurna.

Menurutnya, keputusan memindahkan kubur perlu dilakukan segera bagi mengelak kejadian kubur runtuh ke dalam sungai yang terhakis setiap kali musim tengkujuh melanda.

Katanya, semua kubur terbabit dipindahkan kawasan perkuburan Islam Padang Laka, di sini yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari kawasan perkuburan berkenaan.

"Sebelum ini, jarak tanah perkuburan dari tebing Sungai Pahang kira-kira 10 meter namun banjir menyebabkan hakisan berlaku dan jaraknya kini hanya kira-kira dua meter.

"Kita bimbang sekiranya usaha memindah kubur tidak dilakukan segera sebelum musim tengkujuh akhir tahun ini, tidak mustahil ada kubur yang akan hanyut dibawa arus," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi memindahkan kubur selama dua hari berakhir hari ini disertai lebih 30 kakitangan pelbagai agensi.

Mohd Nor Azmi berkata, semalam sebanyak 17 kubur dipindahkan dan 16 lagi kubur dipindahkan hari ini mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sementara penduduk, Zaini Abdul Kadir, 59 dia bersyukur kubur anak lelakinya dikebumikan pada 2016 selamat dialihkan ke kawasan perkuburan baharu.

"Saya bersyukur dapat turut sama membantu operasi memindahkan kubur selama dua hari, rasa sayu melihat semua 33 kubur digali semula untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Padang Laka," katanya.

SEBANYAK 33 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu dipindahkan selepas berlaku hakisan di tebing Sungai Pahang. FOTPO Mohd Rafi Mamat
SEBANYAK 33 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ganchong Hulu dipindahkan selepas berlaku hakisan di tebing Sungai Pahang. FOTPO Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 1:06 PM