Aidi (kanan)  bersama Mohd Ghazali melawat pameran di Masjid Haji Muda. FOTO Ghazali Kori
Aidi (kanan) bersama Mohd Ghazali melawat pameran di Masjid Haji Muda. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


MASJID turut menjadi sasaran penjenayah apabila purata dua atau tiga kes kecurian di masjid direkodkan setiap minggu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, 130 kes kecurian di masjid dilaporkan berlaku di seluruh Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, walaupun ia masih terkawal namun langkah pencegahan perlu diambil bagi menutup peluang penjenayah melakukan jenayah di masjid sama ada membabitkan kes curi tabung masjid, barang berharga atau kenderaan milik jemaah.

“Kes kecurian yang berlaku di masjid ini boleh dicegah dengan meningkatkan ciri keselamatan bagi menutup peluang penjenayah yang hanya menunggu masa sesuai.

“Sebagai contoh dalam kes curi duit tabung masjid, penjenayah menggunakan teknik ‘mengail’ wang tabung masjid. Ia boleh dicegah dengan memasang besi di atas tabung bagi menyukarkan mereka mengambil wang.

“Bagi kes kecurian lain seperti kenderaan, ia boleh dicegah dengan menggunakan kunci tambahan untuk mengelak kenderaan dicuri,” katanya pada program 1Masjid 1Polis (1M1P) Ketua Polis Terengganu Bersama Masyarakat di Masjid Haji Muda, Binjai Rendah, Marang hari ini.

Turut hadir Pengerusi Masjid Haji Muda, Mohd Ghazali Muda.

Selain program pencegahan jenayah dan rondaan polis, Aidi berkata, pihak pengurusan masjid juga boleh mengambil langkah memperkemaskan ciri keselamatan tabung masjid termasuk memasang besi yang mengikat tabung pada tiang masjid.

“Faktor tabung masjid yang ringan dan mudah alih menyebabkan ada penjenayah bukan saja mencuri wang tabung tetapi turut melarikan tabung masjid.

“Kita perlu jadikan masjid sebagai lokasi yang selamat dan sebab itu semua pihak perlu memainkan peranan dengan menjaga keselamatan barang berharga mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, Aidi berkata, sehingga kini terdapat 69,449 orang berdaftar sebagai ahli ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) di negeri itu sekali gus melepasi sasaran 60,000 dan berharap orang ramai memanfaatkan aplikasi itu untuk menyalurkan maklumat jenayah dengan cepat kepada polis.

“Kita harap lebih ramai menggunakan VSP untuk membantu kecekapan polis mencegah jenayah dengan menyalurkan maklumat seperti kes ragut, lumba haram dan kecurian dengan mudah dan pantas, cuma laporkan menerusi VSP yang dimuat turun di telefon bimbit masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Aidi berkata, 13 laporan berhubung hantaran seorang individu yang menggunakan nama Wendy Loong di dalam media sosial Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’ yang menghina Nabi Muhamad SAW.

Katanya, kebanyakan laporan dibuat orang perseorangan itu diterima pihaknya sejak ia ditularkan Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 1:41 AM