MCPF mahu penggunaan RUU berkaitan kawalan penggunaan vape dipercepatkan. Foto Arkib NSTP
MCPF mahu penggunaan RUU berkaitan kawalan penggunaan vape dipercepatkan. Foto Arkib NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan


YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengharapkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan kawalan penggunaan rokok elektronik atau vape serta shisha dapat dibentang di Parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah terbabit terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebanyakan golongan seusia itu mempunyai sikap ingin mencuba yang tinggi terutamanya apabila didorong rakan.

Menurutnya, ia boleh menjadi permulaan kepada mereka sebelum ke arah merokok atau pengambilan dadah pada masa depan.

“Dilaporkan bahawa 90 peratus daripada kandungan cecair vape mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan kepada bahan terbabit.

“Dengan itu, RUU berkenaan perlu mengambil kira bahan yang mempunyai pengaruh sama seperti gula-gula ‘Ghost Smoke’ atau lain-lain produk yang mempunyai konsep serupa.

“Ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan tindakan penguatkuasaan sukar dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, MCPF menyambut baik jawatankuasa khas yang diwujudkan kerajaan baru-baru ini.

“Namun, ia perlu mencari kaedah terbaik bagi mengawal penggunaan produk itu disebabkan industri dan sindiket berkaitan sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan teknologi.

“Pihak berkuasa mesti sentiasa berada beberapa langkah ke hadapan untuk menangani masalah ini supaya tidak berulang kelak,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata, pihak sekolah perlu memantau dan mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya vape dan bahan seumpama itu secara kerap.

“Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak dengan pengambilan itu.

“Sememangnya sesetengah cecair didakwa tidak mengandungi nikotin tetapi tiada siapa yang boleh beri jaminan bahan itu tidak mengandungi bahan larangan yang lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan terdapat vape berbentuk pen, pemetik api, pemacu pena dan jam dijual di pasaran dan kanak-kanak seawal usia 10 tahun antara yang dikesan mengalami ketagihannya.

Selain itu, tular di media sosial mengenai gula-gula dikenali sebagai ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dijual kepada murid sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 12:40 PM